Najib menang rayuan 2-1, dibenar mula semakan kehakiman Titah Adendum

Mohd Firuz Jaffril, Najib
Mohd Firuz Jaffril, Najib
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dengan majoriti 2-1, membenarkan rayuan Najib, 72 untuk mendapatkan kebenaran itu.

Keputusan majoriti dicapai oleh Azhahari dan Mohd Firuz sementara Azizah menentang keputusan terbabit.

Ketika membaca keputusan, Mohd Firuz berkata, mahkamah memerintahkan kes terbabit diremitkan atau dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya merit semakan kehakiman ini diputuskan.

Menurutnya, alasan utama mahkamah menolak permohonan kebenaran, ialah berdasarkan fakta bahawa, Najib selaku perayu hanya bergantung kepada keterangan dengar cakap.

Bagaimanapun, berdasarkan bukti baharu, dua hakim di sini mendapati isu khabar angin atau dengar cakap itu, tidak lagi boleh dipertahankan.

“Permohonan semakan kehakiman hanya perlu menunjukkan bahawa perayu mempunyai kes untuk berhujah berdasarkan fakta bahawa kepentingan atau haknya tidak dilayan secara adil.

“Permohonan ini tidak remeh dan menyusahkan, susulan itu kami membenarkan rayuannya.

Artikel Berkaitan:

“Kami mengarahkan kes itu dihantar ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran semakan kehakiman,” katanya.

Mendengar perkara itu, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon semakan itu didengar di hadapan hakim yang berbeza.

Panel hakim kemudiannya membenarkan perkara itu untuk pengurusan kes pada 13 Januari ini.

Sementara itu, panel tiga hakim ini, membenarkan permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu bagi menyokong semakan kehakimannya itu.

Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Pekan ini merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Najib yang juga bekas pemimpin UMNO itu mendakwa Titah Adendum itu akan membolehkannya, menjalani baki hukuman penjara selama enam tahun di bawah tahanan di kediamannya.

Pada 3 Julai 2024, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman berhubung kewujudan titah terbabit.

Hakim memutuskan demikian selepas mendapati semua afidavit difailkan bagi menyokong permohonan Najib termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tidak boleh diterima kerana ia bersifat khabar angin.

Sebelum ini, Najib meminta perintah mandamus untuk memaksa tujuh pihak selaku responden menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari tahun lepas.

Pihak terbabit ialah Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM, dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.

Pada 23 Ogos 2022, Najib dihukum meringkuk di Penjara Kajang selama 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Bagaimanapun, pada 2 Februari tahun lalu, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman itu kepada penjara enam tahun dan denda RM50 juta, menyaksikan Najib akan dibebaskan lebih awal iaitu pada 23 Ogos 2028.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!