[VIDEO] Dua beradik yatim piatu sekelip mata
REMBAU - Dua beradik menjadi yatim piatu sekelip mata selepas ibu bapa mereka maut dalam kemalangan di Jalan Seremban - Kuala Pilah (Bukit Putus) menghala Seremban di sini pada Ahad.
Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, Muzaffa Othman, 52, dan Zainora Zainal, 50, meninggal dunia akibat cedera parah selepas kereta Perodua Axia dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan Proton Exora dan Perodua Kancil.
Menurut anak sulung Allahyarham, Nur Aliya Myzara, 19, kejadian itu berlaku ketika ibu bapa serta adik perempuan berusia 15 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantarnya ke Kolej Yayasan Negeri Sembilan di Kuala Pilah.
"Saya baru habis cuti semester dan seperti biasa ayah yang akan hantar. Kami sampai kolej lebih kurang jam 5.30 petang.
"Tapi kira-kira jam 8.30 malam ketika saya sedang duduk bersama kawan-kawan, kakak sepupu hubungi maklumkan ibu dan ayah terlibat kemalangan, tetapi tidak dinyatakan keadaannya," katanya ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau di sini pada Isnin.
Dia kemudiannya berkongsi berita itu dengan rakan-rakan sebelum mereka menunjukkan video kemalangan berlaku yang telah pun tular.
Katanya, ibunya maut di tempat kejadian manakala bapanya meninggal dunia ketika sedang mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban.
"Adik saya pula mengalami patah hidung dan cedera pada belakang badan serta muka kini dirawat di HTJ," katanya.
Tambah Nur Aliya Myzara, hasrat mereka untuk memakai pakaian sedondon warna kuning diraja pada Aidilfitri tahun ini tidak kesampaian.
Katanya, ibunya paling teruja apabila bapanya memberitahu tahun ini mereka dapat beraya bersama.
"Dah dua tahun kami tak dapat beraya bersama kerana ayah merupakan pengawal keselamatan di sebuah kilang terpaksa bekerja.
"Jadi bila ayah dapat tahu tahun ini dia dapat beraya bersama, kami semua teruja dan ibu terus cadangkan untuk memakai tema kuning diraja. Tapi nampaknya ia tak kesampaian," katanya yang tinggal di Taman Cempaka di Senawang.
Sementara itu, kata pelajar bidang kulinari berkenaan, ibu dan bapanya akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Felda Jelai 1.
Sebelum ini media melaporkan, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Proton Exora yang dipandu lelaki berusia 22 tahun sedang bergerak dari Seremban menuju ke Kuala Pilah.
"Namun apabila tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.
"Kereta itu kemudiannya melanggar kereta jenis Perodua Kancil dan juga kereta jenis Perodua Axia yang menyebabkan kesemua kenderaan terlibat terbabas ke penghadang besi sebelah kiri jalan arah ke Seremban," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, kejadian itu menyebabkan mangsa penumpang hadapan kereta jenis Perodua Axia mengalami cedera parah di bahagian kepala dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ujarnya, pemandu kereta Perodua Axia pula disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di zon kecemasan HTJ di sini.
"Mayat kedua-dua mangsa yang merupakan suami isteri telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Rembau untuk urusan bedah siasat.
"Pemandu kereta jenis Proton Exora yang ketika itu memandu seorang diri mengalami cedera parah dipercayai patah di kedua-dua belah kaki," katanya.
Tambahnya, kesemua pemandu serta penumpang kereta jenis Perodua Kancil hanya mengalami cedera ringan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!