[VIDEO] Jalan Kampung Tanjung, Batu Rakit runtuh dibadai ombak

A
A
A

KUALA NERUS - Masalah hakisan pantai didakwa semakin meruncing apabila sebahagian jalan raya di Kampung Tanjung dekat Batu Rakit di sini runtuh dibadai ombak besar dalam kejadian minggu lalu.

Menurut penduduk, Mohd Nor Ali, 68, laluan sejauh 500 meter melibatkan jalan utama di kawasan itu terjejas akibat dibadai ombak setinggi kira-kira dua meter.

"Saya menyedari sebahagian jalan ini runtuh bermula minggu lalu apabila hakisan berlaku sedikit demi sedikit dan kini keadaannya bertambah buruk apabila jalan raya mula runtuh.

"Ia menyebabkan hanya satu laluan sahaja dibuka manakala satu lagi laluan ditutup kepada semua kenderaan," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Isnin.

Sebahagian laluan jalan raya di pantai Kampung Tanjung dekat Batu Rakit runtuh dibadai ombak besar dalam kejadian minggu lalu.
Sebahagian laluan jalan raya di pantai Kampung Tanjung dekat Batu Rakit runtuh dibadai ombak besar dalam kejadian minggu lalu.

Menurut Mohd Nor, selain masalah hakisan, beberapa gerai jualan yang didirikan di sepanjang pantai tersebut juga hilang akibat dihanyutkan ombak.

"Masalah hakisan di kawasan ini berlaku dalam tempoh yang singkat menyebabkan 15 pokok kelapa tumbang akibat dibadai ombak besar.

"Selain itu, banyak pokok ru yang masih kecil juga tercabut dan dihanyutkan ombak kuat di kawasan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Nor bekata, sebagai penduduk yang tinggal di kawasan itu dia berasa bimbang sekiranya masalah hakisan bertambah buruk.

Masalah hakisan semakin meruncing apabila jalan raya di Kampung Tanjung, Batu Rakit runtuh akibat dibadai ombak besar.
Masalah hakisan semakin meruncing apabila jalan raya di Kampung Tanjung, Batu Rakit runtuh akibat dibadai ombak besar.

Katanya, masalah hakisan yang berlaku di Kampung Pengkalan Maras, di sini sebelum ini telah merebak dan kini melanda pula kawasan kampung tersebut.

"Sudah berpuluh tahun saya tinggal di sini, kali ini paling teruk hakisan berlaku dan saya bimbang jika tidak ditangani segera semua laluan melibatkan jalan utama di sini akan rutuh," ujarnya.

Antara papan tanda diletakkan di kawasan itu bagi memberi peringatan kepada pengguna jalan.
Antara papan tanda diletakkan di kawasan itu bagi memberi peringatan kepada pengguna jalan.

Sementara itu, seorang peniaga, Mohamad Fazuan Idham Azhar, 31, berkata, masalah hakisan telah berlaku sejak dia berniaga pelbagai jenis makanan di kawasan itu sejak setahun lalu.

"Sebelum ini jarak antara gerai dengan kawasan pantai kira-kira 20 meter, dalam sehari saya jangka sebanyak 5 meter dari kawasan ini terhakis

"Situasi yang berlarutan itu menyebabkan hakisan mencecah sehingga ke kawasan jalan raya di sini sehingga sebahagiannya telah runtuh," katanya.

Jelas Mohamad Fazuan, buat sementara waktu ini dia terpaksa berpindah ke lokasi lain bagi meneruskan perniagaan.

"Saya berniaga bersama lima lagi rakan. Kami terpaksa memindahkan barangan niaga ke kawasan lebih selamat supaya tidak dihanyutkan ombak," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!