Bayaran ex-gratia untuk Pulau Silikon selesai
GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang telah menyelesaikan bayaran ex-gratia kepada semua nelayan yang layak dan berdaftar di bawah Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) untuk projek Pulau Silikon.
Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation, Datuk Seri Farizan Darus berkata, sejumlah RM11.78 juta telah disalurkan kepada 791 nelayan yang mempunyai lesen dan masih aktif.
Menurutnya, seramai 877 nelayan yang berdaftar untuk SIMP, namun 84 daripada mereka gagal mengemas kini dokumen sebelum tarikh akhir iaitu 31 Oktober 2024.
"Ini termasuk nelayan yang tidak aktif, yang mempunyai lesen baharu tahun 2024, sebahagian yang telah berpindah dan beberapa lagi yang telah meninggal dunia. Bayaran ex-gratia untuk dua nelayan lagi ditangguhkan buat masa ini disebabkan konflik kepentingan berikutan kes mahkamah yang sedang berjalan dengan pihak kami.
“Jawatankuasa Taskforce Nelayan telah memutus untuk menangguhkan bayaran tersebut sehingga rayuan diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sebelum itu, Farizan menyerahkan hamper perayaan Krismas dan tahun baharu kepada 10 nelayan dari Teluk Kumbar, Batu Maung, Seri Jerjak, Teluk Tempoyak dan Pulau Betong di Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN), Permatang Damar Laut di sini.
Farizan menambah, sumbangan perayaan tahunan itu mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan nelayan di kawasan sekitar projek.
“Walaupun kerja-kerja sedang berjalan di tapak, kami tetap komited melaksanakan program seperti ini yang memberi manfaat kepada komuniti nelayan demi kesejahteraan jangka panjang dan kelestarian ekonomi mereka.
“Usaha ini juga memastikan mereka terus maju seiring dengan pembangunan projek Pulau Silikon ini. Pegawai kami di PPSN akan terus berkhidmat kepada komuniti tempatan khususnya para nelayan sementara kami terus melaksanakan lebih banyak inisiatif SIMP untuk manfaat mereka yang berdaftar,” katanya.
Terdahulu, kerajaan negeri mengumumkan cadangan SIMP merangkumi pakej pemberian saguhati selain program yang akan memberi manfaat jangka masa panjang kepada nelayan termasuk program pemerkasaan dan skim perumahan.
Nelayan yang akan menerima manfaat tersebut terbahagi kepada dua tahap iaitu tahap 1 adalah mereka dari kawasan Permatang Tepi Laut, Sungai Batu, Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul.
Bagi tahap 2, mereka adalah dari Seri Jerjak, Batu Maung, Teluk Tempoyak, Pulau Betong serta Kuala Sungai Burong.
Tekong dan awak-awak dari unit tahap 1 masing-masing akan menerima RM20,000 dan RM12,960 manakala bagi tahap 2, akan menerima RM13,200 dan RM5,400.
Tekong tahap 1 akan ditawarkan bot sepanjang 8.2 meter dan enjin berkuasa kuda 90 atau 100.
Projek PSI yang sebelum ini dikenali sebagai Penang South Reclamation (PSR) adalah projek mega melibatkan tambakan bagi mewujudkan tiga pulau dengan keluasan 1,821 hektar di kawasan selatan Pulau Pinang.
Projek tersebut yang mula diperkenalkan pada 2015 merupakan modul pembiayaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion selepas SRS Konsortium dilantik sebagai PDP untuk PTMP pada 14 Ogos 2015.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!