Peluang Najib jalani baki hukuman penjara di rumahnya semakin hampir
PUTRAJAYA - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yakin peluang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara di rumah kini semakin hampir susulan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Melaka itu juga menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan berkenaan adalah kemenangan pertama bagi mantan Presiden UMNO merangkap bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) terbabit.
"Hari ini pun kita dimaklumkan Sultan Pahang ada mengeluarkan satu surat mengesahkan bahawa Titah Adendum itu memang wujud dan sahih.
"Ini memberikan petanda positif dan dapat menangkis cakap-cakap kononnya Titah Adendum berkenaan tidak wujud dan hearsay sudah dinafikan selepas Sultan Pahang sendiri berkenaan mengeluarkan surat pengesahan berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Istana Kehakiman di Putrajaya sebentar tadi.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan membenarkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Keputusan majoriti 2 -1 dibuat Hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril membenarkan rayuan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman itu manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel menentangnya.
Justeru panel hakim memerintahkan supaya kes terbabit diremitkan (dikembalikan) ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya merit semakan kehakiman terbabit dan diputuskan.
Mengulas lanjut, Akmal berkata keputusan berkenaan juga membuktikan bahawa afidavit difailkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Pahang dan anak sulung Najib, Datuk Muhammad Nizar adalah sah dan sahih.
"Jadi sekarang kita semua tunggu keputusan Mahkamah Tinggi nanti macam mana.
"Titah Adendum ini adalah hak dikurniakan kepada Datuk Seri Najib dan tidak boleh dinafikan. Oleh itu saya percaya mahkamah akan membuat keputusan adil dan saksama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!