Himpunan Solidariti Najib: Botol minuman, puntung rokok 'cemari' lokasi tumpuan
PUTRAJAYA - Botol, puntung rokok serta plastik antara sampah yang mencemari sekitar kawasan tumpuan peserta Himpunan Solidariti Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di pekarangan Istana Kehakiman pada Isnin.
Sampah sarap itu dipercayai ditinggalkan individu yang hadir dalam himpunan berkenaan dan tidak dibuang ke dalam tong sampah yang terdapat di sekitar kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, beberapa petugas dipercayai daripada kontraktor pembersihan dilihat mengutip sampah yang ditinggalkan.
Setakat jam 2.40 petang, penyokong Najib Razak dilihat masih berkumpul di belakang Istana Kehakiman bagi menyatakan sokongan terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Terdahulu, orang ramai mula membanjiri pekarangan Istana Kehakiman, di sini bagi menghadiri pendengaran rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sejak awal pagi Isnin.
Tinjauan Sinar Harian mendapati penyokong Najib dan ahli Pas dilihat memenuhi sudut kiri dan kanan bahagian hadapan serta laluan masuk menerusi pintu belakang Istana Kehakiman.
Pada Ahad, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed dilaporkan berkata, pihak polis mengawasi seluruh kawasan berhampiran Istana Kehakiman selain turut melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) di setiap laluan masuk ke Putrajaya.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan penganjuran himpunan solidariti buat Datuk Seri Najib Tun Razak di Istana Kehakiman di sini pada Isnin ditolak pihak polis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!