160 pemain amatur beraksi di Kejohanan BDB Masters & Charity Golf 2024
SERAMAI 160 peserta mengambil bahagian pada Kejohanan BDB Masters & Charity Golf 2024 yang berlangsung selama tiga hari di Darulaman Golf & Country Club (DGCC), Jitra.
Pengarah Eksekutif Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB), Raja Shahreen Raja Othman berkata, BDB Masters and Charity Golf 2024 yang tamat pada Ahad sememangnya merupakan kejohanan golf amatur yang paling ditunggu-tunggu pada setiap tahun.
Katanya, lebih 90 peratus daripada peserta merupakan pemain dari luar Kedah yang datang dari seluruh tanah air.
"Kejohanan tersebut dibahagikan kepada lima kategori iaitu Gross Open, Nett Open, Nett Intermediate, Senior Gross dan Nett Senior yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM30,000.
“Selain daripada hadiah keseluruhan, tarikan utama kejohanan ini juga ialah hadiah untuk pukulan “Hole In One” iaitu sebuah kereta Proton X50 dan Proton S70 bernilai lebih RM180,000," katanya.
Jelasnya, BDB terus komited dalam usaha untuk menawarkan pertandingan golf terbaik di utara tanah air yang menawarkan kelainan bukan sahaja dari segi hadiah tetapi juga cabaran.
"Muhammad Farez Mohd Azihan, 24, dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan merekodkan 214 pukulan sepanjang tiga hari kejohanan, sekali gus menewaskan pencabar terdekatnya, Nor Haqeim Nor Hadi dan Shakiran Johari masing-masing mencatatkan 217 pukulan," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Menurutnya, kejayaan itu membolehkan Muhammad Farez membawa pulang hadiah keseluruhan wang tunai RM2,800 serta trofi kejuaraan yang disampaikan oleh Raja Shahreen.
"Selain itu, sebanyak 10 sekolah terpilih menerima sumbangan bernilai RM10,000 yang dikumpul sepanjang berlangsungnya kejohanan terbabit.
"Sumbangan tersebut merupakan kutipan yang dikumpul bersempena perlawanan amal dan akan diserahkan kepada sekolah-sekolah terpilih di negeri Kedah,"katanya.
Raja Shahreen berkata, BDB telah mengenalpasti sekolah tersebut berdasarkan keperluan serta keupayaan kewangan yang diperlukan oleh mereka manakala baki daripada kutipan berkenaan akan dikumpul dalam tabung khas yang akan digunakan untuk membantu golongan yang memerlukan pada masa akan datang.
“Alhamdulillah, usaha kecil mengumpul dana sumbangan yang dilaksanakan oleh BDB menerusi penganjuran kejohanan ini mendapat sokongan kuat daripada pelbagai pihak, sekali gus membolehkan kita membantu mereka yang memerlukan terutamanya di negeri Kedah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!