UMNO mohon ihsan Agong beri pengampunan penuh buat Najib

Ahmad Zahid. Foto Bernama
Ahmad Zahid. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO memohon ihsan, kebijaksanaan dan keadilan Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan penuh buat bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia selaras dengan kuasa prerogatif Seri Paduka Baginda di bawah peruntukan Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

Ujar Timbalan Perdana Menteri, UMNO turut menjunjung kasih Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah memperakukan Titah Adendum berhubung penahanan dalam rumah bekas ahli Parlimen Pekan itu adalah wujud dan sahih.

“Perakuan kesahihan Titah Adendum ini yang dizahirkan oleh baginda membuktikan kebenaran afidavit tambahan menyokong petisyen Najib yang telah dibuat oleh saya dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, sebelum ini.

“UMNO menghormati proses perundangan yang sedang berlangsung dan akan terus memperjuangkan keadilan buat Najib.

“Saya juga ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli UMNO dan penyokong setia yang tidak pernah lelah memberikan sokongan serta doa sepanjang perjalanan ini,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.

Terdahulu Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dengan majoriti 2-1, membenarkan rayuan Najib, 72 untuk mendapatkan kebenaran itu.

Artikel Berkaitan:

Keputusan majoriti dicapai oleh Azhahari dan Mohd Firuz sementara Azizah menentang keputusan terbabit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!