‘Ada pengkhianat sembunyikan Titah Adendum’ - Armada Bersatu
SHAH ALAM - Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa ada pengkhianat yang telah menyembunyikan Titah Adendum bertarikh 29 Januari tahun lalu.
Ketuanya, Muhammad Hilman Idham berkata, pihaknya ingin menegaskan bahawa setiap warganegara mempunyai hak sama sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Berdasarkan surat bertarikh 4 Januari 2025 yang dikeluarkan oleh Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman dan diutuskan kepada anak sulung bekas Perdana Menteri, Datuk Muhammad Nizar, maka telah terbukti bahawa ada ‘pengkhianat’ telah sembunyikan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024.
“Oleh itu, semua banduan dihukum boleh memohon pengampunan atau pengurangan hukuman untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, pihak pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Isnin, bahawa Muhammad Nizar mengesahkan wujudnya Titah Adendum daripada Istana Pahang.
Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata demikian ketika membaca perintah tersebut di hadapan panel tiga hakim, yang mendakwa Yang di-Pertuan Agong ke-16 membenarkan anak guamnya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Menurutnya, Muhammad Nizar menerima dokumen itu yang merupakan rekod peribadi Sultan Pahang.
Dalam pada itu, Muhammad Hilman mencadangkan dan menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan semua sayap Pemuda parti politik bagi memastikan semua pengkhianat ini segera disiasat dan diheret ke muka keadilan demi mempertahankan kemuliaan Institusi Raja-Raja Melayu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!