Mahkamah tolak permohonan semakan kehakiman pengarah, penerbit filem Mentega Terbang

Laporan Sinar Harian berhubung keputusan mengenai merit semakan kehakiman terhadap pengarah dan penerbit filem Mentega Terbang.
Laporan Sinar Harian berhubung keputusan mengenai merit semakan kehakiman terhadap pengarah dan penerbit filem Mentega Terbang.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan semakan kehakiman dikemukakan pengarah dan penerbit filem Mentega Terbang berhubung larangan tayangan dan publisiti filem itu.

Hakim Datuk Amarjeet Singh menyampaikan keputusan itu pada prosiding hari ini yang dihadiri Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali yang mewakili Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan selaku responden.

"Ini keputusan mahkamah, permohonan semakan kehakiman ditolak," kata Hakim Amarjeet.

Peguam N Surendran yang mewakili pengarah filem itu, Mohd Khairianwar Jailani dan penerbitnya Tan Meng Kheng ketika ditemui di luar mahkamah berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan mahkamah hari ini.

Dalam permohonan yang difailkan pada Disember 2023, Mohd Khairianwar, 32, dan Meng Kheng, 37, mendakwa keputusan kerajaan mengharamkan filem itu adalah tidak rasional dan melanggar kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mereka mendakwa keputusan itu turut menjejaskan pendapatan mereka kerana filem itu tidak dapat ditayangkan atau diedarkan ke mana-mana dalam negara.

Sebelum ini Kementerian Dalam Negeri mengharamkan tayangan dan publisiti filem itu menerusi Warta Kerajaan P.U (A) 2662 Akta Penapisan Filem 2002 Perintah Penapisan Filem (Larangan) 2023 bertarikh 21 Ogos 2023 yang ditandatangani oleh menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Filem yang ditayang menerusi platform penstriman video itu mengundang kecaman dan kegusaran orang awam kerana didakwa memaparkan adegan dengan unsur bertentangan fahaman serta kepercayaan agama.

Artikel Berkaitan:

Pada 17 Januari 2024, Mohd Khairianwar dan Meng Kheng masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan melukakan perasaan agama orang lain menerusi filem itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!