MHL 2025 peluang pemain bukti kehebatan sertai Speedy Tigers - Sarjit
LIGA Hoki Malaysia (MHL) 2025 menjadi platform pemilihan pemain untuk menyertai skuad hoki kebangsaan, kata Ketua Jurulatih, Sarjit Singh.
Beliau berkata, barisan kejurulatihan akan memantau dan menilai pemain yang memenuhi kriteria ditetapkan terutama disiplin untuk diserapkan dalam skuad Speedy Tigers.
"Mana-mana pemain yang main bagus kita akan serap ke dalam skuad kebangsaan, ini peluang yang baik untuk pemain membuktikan kemampuan mereka.
"Sama ada bakat baharu, pemain muda dan mana-mana pemain yang layak, kita akan panggil untuk sertai skuad kebangsaan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Sebanyak 78 perlawanan akan berlangsung di enam venue terpilih termasuk Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil bagi aksi MHL yang akan telah bermula semalam hingga 22 Februari.
Sarjit berkata, Speedy Tigers akan memulakan latihan pada awal Mac sebagai persediaan untuk Piala Asia yang dijadualkan pada 27 Ogos hingga 7 September di India.
Beliau berkata, pasukan kebangsaan juga akan beraksi pada Piala Negara-Negara 2025 pada Jun.
"Kita akan mengadakan mesyuarat bersama barisan kejurulatihan untuk sediakan program latihan dan perancangan buat skuad negara bagi tahun ini.
"Buat masa ini kita fokus untuk Piala Asia dahulu, kita akan buat latihan pada Mac, dan bagi cuti raya (Aidilfitri) seminggu sebelum kembali latihan semula,” katanya.
Skuad Speedy Tigers menamatkan saingan Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2024 dengan berada ditempat terakhir selepas tewas 2-4 kepada Jepun menerusi penentuan penalti shoot-out dalam penentuan kelima dan keenam di Hulunbuir, China pada September. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!