'Tak mungkin Anwar tak tahu kewujudan Titah Adendum' - Hamzah
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mustahil tidak tahu sama sekali tentang kewujudan Titah Adendum yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 buat Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa, ia kerana seorang ketua kerajaan bertanggungjawab sepenuhnya bagi melaksanakan mana-mana titah Yang di-Pertuan Agong termasuk Titah Adendum.
“Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini membuktikan ada pihak sengaja bertindak menyembunyikan perkara tersebut dan mengkhianati prinsip berterus-terang yang sepatutnya dijunjung kerajaan.
“Sebagai perdana menteri, beliau terikat dengan ikrar sumpah taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan Perlembagaan Persekutuan.
“Sebarang keingkaran, menyembunyi atau menafikan titah Yang di-Pertuan Agong
merupakan penderhakaan besar kepada raja dan negara,“ katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, pasukan pembelaan bagi pihak Najib memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa Titah Adendum yang membenarkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara selama enam tahun di bawah tahanan rumah disembunyikan daripada umum.
Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan, perintah itu wujud dan ditandatangani sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Menurutnya, anak sulung Najib iaitu Datuk Mohamad Nizar juga mengesahkan wujudnya Titah Adendum daripada Istana Pahang.
Bukan itu sahaja, katanya, beliau turut membacakan surat daripada Majlis Kesultanan Pahang bertarikh 4 Januari lalu dan dialamatkan kepada Mohamad Nizar yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang.
Difahamkan, isi kandungan surat tersebut terdapat perakuan kewujudan dan kesahihan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024.
Pasukan pembelaan menjangkakan bekas ahli Parlimen Pekan itu dikeluarkan daripada tahanan penjara dalam tempoh sebulan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!