Penjawat awam disyaki terima rasuah RM50,000 direman 5 hari
KUALA TERENGGANU - Seorang penjawat awam direman selama lima hari selepas disyaki menerima sogokan RM50,000 sebagai balasan bagi membantu mendapatkan projek di sebuah universiti awam di Terengganu.
Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan reman bermula Isnin sehingga 10 Januari depan.
Perintah reman dibenarkan Penolong Kanan Pendaftar, Yuhanis Mohd Roslan selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini pada pagi Isnin
Menurut sumber, suspek telah ditahan kira-kira jam 1 tengah hari pada Ahad ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Terengganu.
"Suspek disyaki menerima rasuah kira-kira RM50,000 sebagai balasan menyokong dan memperakukan dokumen tuntutan bayaran bagi lima projek di sebuah universiti awam di negeri ini di mana nilai keseluruhannya berjumlah kira-kira RM500,000.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2023 dan 2024 dengan menerima wang rasuah melalui transaksi pindahan ke akaun bank milik isterinya.
“Suspek telah ditangkap bersama isterinya semalam tetapi isterinya telah dilepaskan dengan jaminan SPRM,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
"Kita tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan susulan akan dibuat bagi membantu siasatan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!