Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 sasar 35.6 juta pelancong antarabangsa
SEPANG - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) meletakkan sasaran ketibaan seramai 35.6 juta pelawat antarabangsa dengan menjana nilai sebanyak RM147.1 bilion pada acara Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Bagi merealisasikan hal tersebut, MOTAC mengadakan peluncuran Kempen TMM 2026 sebagai inisiatif menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama yang ideal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun sasaran berkenaan tinggi, namun ia tidak mustahil untuk diraih kerana nilai tersebut adalah realistik.
“Jika hal ini berjaya diraih maka ia dapat memanfaatkan pelbagai sektor pelancongan termasuk makanan dan minuman (F&B) serta mana-mana industri yang berkaitan.
“Di sebalik nilai sasaran yang ingin dicapai adalah penting untuk mempromosikan pelancongan dalam negara dengan menawarkan pengalaman bermakna kepada pelancong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Peluncuran Kempen TMM 2026 di Hangar 6, Kompleks Kejuruteraan Malaysia Airlines Berhad (MAB) pada Isnin.
Turut hadir, Timbalan-timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Mengulas lanjut, Anwar memberitahu kerajaan memiliki hala tuju yang jelas bagi sektor pelancongan iaitu mempromosikan tempat percutian dalam negara yang mampan terhadap alam sekitar dan komuniti setempat.
Menurutnya, sektor pelancongan berperanan sebagai penggerak kepada pertumbuhan ekonomi di samping menyediakan pengalaman berharga buat pelancong.
“Malaysia bukan sebuah destinasi yang biasa tetapi unik dengan kepelbagaian bangsa dan budaya,” ujarnya.
Sementara itu, King Sing berkata, TMM 2026 bukan sahaja berkisarkan tentang pelancongan semata-mata sebaliknya mengenai keramahan rakyat Malaysia yang bersedia menyambut kedatangan pelawat-pelawat asing.
Jelas beliau, ia secara tidak langsung menggambarkan identiti Malaysia sebagai sebuah negara yang penuh dengan kepelbagaian perpaduan.
Sehubungan itu, King Sing menyarankan agar setiap rakyat tidak kira pemandu pelancong, pemilik perniagaan, anak seni dan untuk berkongsi cerita, budaya dan kemesraan masyarakat Malaysia dengan dunia.
“Marilah kita pastikan setiap pelawat yang meninggalkan Malaysia dengan kenangan dan cerita yang akan mereka hargai sepanjang hayat.
“Setiap senyuman, salam, dan interaksi menyumbang kepada kisah Malaysia. Bersama-sama, kita sebagai ‘duta pelancongan’ yang bangga. Mari menjadikan negara kita bersinar di pentas dunia!” ujarnya.
Majlis pelancaran kempen turut diserikan dengan pengenalan kepada logo, lagu tema, maskot dan rakan strategik rasmi.
Logo TMM 2026 merupakan simbol budaya Malaysia meriah dengan keindahan alam semula jadi dengan daya tarikan global berfungsi sebagai peringatan visual tentang kesiapsiagaan negara untuk menyambut pelancong dari seluruh dunia.
Malah lagu tema TMM 2026 bertajuk ‘Surreal Experiences’ menjadi komponen utama dalam kempen untuk menarik perhatian antarabangsa kerana menampilkan kepelbagaian budaya di Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!