Bolehkah wanita berbaju lengan pendek baca al-Quran?
APABILA membaca al-Quran di dalam rumah, golongan wanita lazimnya tidak menutup aurat dengan sempurna sebagaimana mendirikan solat.
Bahkan, adakalanya pakaian yang dipakai hanya berlengan pendek, tetapi lengkap bertudung. Begitu juga sebaliknya.
Sebenarnya, bolehkah kaum Hawa berpakaian sedemikian rupa? Berpahalakah ayat suci kalamullah yang dibacakannya dalam keadaan aurat tidak tertutup dengan sempurna?
Menerusi hantaran di laman sosial Facebook pendakwah Ustaz Azhar Idrus, perbuatan membaca al-Quran dengan pakaian yang tidak menutup aurat dengan sempurna adalah diharuskan.
“Contohnya, tidak memakai tudung atau memakai baju lengan pendek bagi perempuan.
“Ia sebagaimana disebutkan dalam Fatwa Majlis Agama Islam Baitulmaqdis yang menyatakan ‘Tiada halangan seorang perempuan membaca al-Quran dalam keadaan terbuka kepalanya, akan tetapi yang afdal bahawa perempuan itu memakai pakaian yang sempurna menurut syarak sebagai meraikan adab bersama al-Quran’.
“Tambah fatwa itu lagi ‘Dan jika dia menutup aurat dengan sempurna, mudah baginya untuk melakukan sujud sajadah ketika sampai pada ayat sajadah ketika membacanya itu’,” katanya sebagaimana dikongsikan di akaun Facebook miliknya pada Ahad.
Bagi menguatkan lagi pernyataan itu, Ustaz Azhar kemudian mengemukakan pandangan Mufti Jordan, Dr Nuh Ali yang menyatakan:
“Ya harus (membaca al-Quran dalam keadaan tidak menutup aurat) kerana tidak disyaratkan menutup aurat bagi perempuan yang hendak membaca al-Quran, akan tetapi disunatkan baginya tutup aurat supaya dia sentiasa bersedia bagi sujud sajadah di pertengahan bacaannya.”
Kepada wanita yang berbaju lengan pendek di dalam rumahnya, tetapi membaca al-Quran dalam keadaan itu, agamawan itu menjelaskan, dirinya tetap mendapat pahala membaca kitab suci itu seperti orang lain.
“Bagaimanapun, jika dia menutup aurat dengan sempurna, itu adalah lebih afdal,” ungkapnya.
Memetik artikel yang pernah disiarkan di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum asal membaca al-Quran dalam keadaan tidak menutup aurat adalah harus kerana tidak terdapat mana-mana nas dalam kitab suci itu mahupun hadis yang menyatakan sedemikian.
“Namun, kami tegaskan bahawa antara adab membaca al-Quran adalah menutup aurat secara sempurna sebagaimana ditegaskan oleh para ulama seperti ahli Lajnah Darul Iftaa’ Mesir, Dr Nuh ‘Ali Salman.
“Ia atas dasar adab dengan al-Quran sebagai sebuah kitab agung yang diturunkan oleh ALLAH SWT kepada sekalian manusia,” katanya sepertimana dipetik menerusi artikel Al-Kafi #835: Hukum membaca al-Quran tanpa menutup aurat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!