Suami isteri jual air ketum ditahan, rampas 71 senjata berbahaya

Nermaljit (kiri) menunjukkan air ketum yang sudah siap dibungkus yang dirampas di kediaman pasangan suami isteri terbabit.
Nermaljit (kiri) menunjukkan air ketum yang sudah siap dibungkus yang dirampas di kediaman pasangan suami isteri terbabit.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Seorang lelaki dan isteri keduanya ditahan bersama 600 bungkusan air ketum yang siap diproses di kediaman mereka di Lintang Bayan 6 di sini pada jam 9 pagi, Isnin.

Selain barang terlarang itu, polis turut merampas 71 senjata berbahaya antaranya, pedang samurai, keris dan kerambit di kediaman jenis teres itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Nermaljit Singh Bakhtawar Singh berkata, polis juga merampas dua mesingan automatik tiruan daripada pasangan berkenaan.

"Suspek yang bekerja sebagai pemandu e-hailing berusia 47 tahun manakala isterinya berusia 35 tahun ditahan untuk siasatan lanjut. Isterinya dipercayai mengetahui dan terlibat sama dalam pemprosesan daun ketum.

"Kediaman mereka ini dipercayai dijadikan tempat untuk memproses air ketum sebelum dijual kepada pelanggan. Suspek akan mengedar ketum dengan menggunakan kenderaan sendiri kepada pelanggan di kawasan Teluk Bahang dan George Town," katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati, suspek mengakui kesemua senjata tersebut yang ditemui di dalam sebuah bilik adalah untuk dijual secara dalam talian.

"Kita masih menyiasat mengenai milikan senjata berkenaan selain menyiasat penglibatan suspek dalam pelbagai jenayah lain.

"Ini kerana, kesemua senjata ini adalah jenis yang berbahaya dan boleh mendatangkan kecederaan parah," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Polis turut merampas peralatan yang digunakan untuk pemprosesan air ketum termasuk tong gas LPG, periuk serta sembilan tong air kosong,
Polis turut merampas peralatan yang digunakan untuk pemprosesan air ketum termasuk tong gas LPG, periuk serta sembilan tong air kosong,

Nermaljit berkata, siasatan mendapati, suspek menyewa rumah berkenaan sejak setahun lalu namun aktif menjalankan kegiatan memproses dan mengedar air ketum sejak tiga bulan lalu.

"Ini kali kedua suspek ditahan selepas ditahan pada dua tahun lalu di Sungai Pinang atas kesalahan sama.

"Dia mengakui mampu menjana pendapatan sehingga RM12,000 sebulan dengan hanya menjual air ketum," tambahnya.

Katanya lagi, rumah tersebut turut dipasang penghadang tinggi bagi mengelakkan kegiatan pasangan itu diketahui jiran.

“Selain air ketum yang sudah siap dibungkus, kita juga menemui empat tong air yang dipenuhi bungkusan air ketum dan beberapa lagi dalam but kereta.

"Dalam serbuan ini juga, polis merampas peralatan yang digunakan untuk pemprosesan air ketum termasuk tong gas LPG, periuk serta sembilan tong air kosong," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!