M Nasir bawa Nuri Terbang Malam ke generasi baharu
BAGI memberikan sesuatu yang berbeza buat peminat muzik tanah air, legenda muzik negara, Datuk M Nasir membawakan semula lagu Nuri Terbang Malam.
Lagu ini dipercayai merupakan lagu Melayu pertama yang pernah direkodkan pada piring hitam sekitar tahun 1903 oleh sebuah syarikat rakaman antarabangsa dari United Kingdom, Gramophone Company.
Nuri Terbang Malam asalnya dinyanyikan oleh Qasim, seorang penyanyi Wayang Semarang dari Pulau Pinang.
Lagu ini dirakam di Singapura dan menggabungkan elemen muzik tradisional India dan Timur Tengah, mencerminkan pelbagai budaya yang wujud di rantau ini pada zaman tersebut.
Lirik lagu ini berkisar tentang cinta yang tidak pernah pudar, seperti burung Nuri yang terus mencari di malam gelap.
“Sebagai seorang penggiat seni, saya ingin membawa karya ini ke generasi baharu tanpa melupakan asal usulnya. Lagu ini adalah sebahagian daripada sejarah muzik kita, dan tugas kita adalah untuk mengabadikannya,” ujar M Nasir.
Tambah M Nasir, Allahyarham Nafie Spider telah bertanggungjawab selaku penerbit untuk lagu terbabit sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir.
"Beliau telah mereka semula struktur lagu tersebut dengan memperkenalkan rentak yang lebih rancak, namun masih mengekalkan elemen tradisional India dan Timur Tengah yang menjadi tunjang asal lagu ini.
"Selain itu, beliau juga telah menambah progresi kord untuk mencipta dinamik dan nuansa yang berbeza daripada lagu asal, memberikan pengalaman mendengar yang lebih moden dan segar," jelasnya.
Usaha pembangkitan semula lagu ini sebenarnya merupakan sebahagian daripada projek kerjasama antara Luncai Emas Sdn Bhd dan World Business Affairs Sdn Bhd (WBA) yang diberi nama ‘100 Lagu 100 Tahun’.
Projek ‘100 Lagu 100 Tahun’ ini adalah cetusan idea Professor Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak bersama produser dan komposer terkenal Dr Mohd Azhar Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Azmeer.
Objektif projek ini adalah untuk menghimpunkan 100 lagu popular Melayu mula dari abad ke-20 dalam bentuk audio dan juga buku. Buku ini memuatkan informasi tentang latar belakang dan sejarah setiap lagu, sekali gus menjadi rujukan berharga kepada generasi masa kini dan akan datang.
‘Nuri Terbang Malam dipersembahkan di semua saluran digital seperti Youtube, Spotify, Apple Music dan lain-lain bermula 3 Januari lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!