Jabatan Penjara tidak terima perintah benarkan tahanan rumah untuk Najib - Saifuddin

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Penjara tidak pernah menerima sebarang perintah daripada Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Pesekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya untuk membenarkan Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki tempoh hukuman penjara di rumah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, agensi itu hanya menerima minit mesyuarat dan perintah untuk melaksanakan keputusan mesyuarat lembaga berkenaan sebagaimana yang diputuskan pada 29 Januari 2024.

Menurutnya, perintah yang ditandatangani Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa itu hanya mengarahkan Jabatan Penjara memendekkan tempoh hukuman penjara kepada 23 Ogos 2028 dan mengurangkan denda kepada RM50 juta.

"Ini adalah surat yang Jabatan Penjara terima, maknanya tidak ada menyebut tentang tahanan rumah.

"Jadi sebagai jabatan yang melaksanakan perintah Pengerusi Lembaga Pengampunan, maka Jabatan Penjara harus amanah dalam melaksanakannya dan itulah (yang) kami laksanakan.

"Jadi itu penting bagi menepis sebarang persepsi bahawa KDN khususnya Jabatan Penjara tidak patuh atau tidak akur, jauh sama sekali dikatakan menyembunyikan apa-apa keputusan oleh Lembaga Pengampunan," katanya pada sidang akhbar di sini pada Isnin.

Sebelum ini pasukan pembelaan bekas Perdana Menteri itu memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa, Titah Adendum yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara selama enam tahun di bawah tahanan rumah, disembunyikan daripada umum.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah, perintah itu wujud dan telah ditandatangani sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, anak sulung Najib, Datuk Mohamad Nizar juga telah mengesahkan wujudnya Titah Adendum daripada Istana Pahang.

Dalam pada itu Saifuddin Nasution menegaskan, pihaknya hanya boleh melaksanakan perintah Lembaga Pengampunan sebagaimana surat yang diterima.

"Kalau dalam perintah pelaksanan keputusan itu dimasukkan misalnya tahanan rumah dan sebagainya, menjadi tanggungjawab kami (laksanakan).

"Oleh kerana surat yang diterima oleh KDN khususnya Jabatan Penjara hanya menyebut tentang dua perkara itu, bagaimana boleh kami melaksanakan perintah yang tidak ada dalam perintah keputusan Lembaga Pengampunan," ujarnya.

Sementara itu ditanya sama ada minit mesyuarat tersebut ada menyentuh mengenai titah tahanan rumah, beliau berkata perkara itu tiada dalam dokumen berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!