Non-Muslim boleh masuk masjid dengan kebenaran dan beradab – Dr Ahmad Sanusi
PERISTIWA seorang lelaki yang masuk Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini memberi banyak pengajaran kepada masyarakat terutamanya kepada umat Islam sendiri.
Antara persoalan yang timbul adalah bagaimana seorang non-Muslim yang berpakaian tidak sopan dengan berseluar pendek paras lutut boleh ‘terlepas’ masuk ke dalam ruangan solat utama masjid?
Soalan lain yang bermain di minda kita juga, apakah adab umat Islam sendiri ketika seorang non-Muslim masuk ke dalam masjid? Perlukah kita mengasarinya?
Berbicara mengenai non-Muslim masuk ke dalam masjid, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menjelaskan, Imam Syafie berpandangan orang kafir atau non-Muslim dibenarkan masuk ke dalam masjid secara umumnya.
“Ini berdasarkan beberapa riwayat yang menunjukkan bahawa Rasulullah SAW menerima mereka di masjid.
“Namun untuk masuk ke masjid, orang kafir seharusnya datang dengan keizinan dan adab yang digariskan,” katanya di akaun Facebook miliknya pada Sabtu.
Menyambung hujah, beliau menyatakan, Ali bin Abu Talib RA pernah mengusir seorang kafir yang masuk ke dalam masjid.
“Ibnu Qudamah berkata, adapun masjid di tanah halal (selain Tanah Haram), maka mereka tidak dibenarkan masuk melainkan dengan keizinan umat Islam.
“Ini kerana Ali pernah melihat seorang beragama Majusi masuk sedangkan ketika itu beliau berada di atas mimbar lalu beliau turun dari mimbar, memukul dan mengusirnya,” jelasnya dengan memetik kisah tersebut dari kitab Al-Mughni.
Bagamanapun katanya, majoriti ulama berpandangan bahawa harus bagi orang kafir itu untuk masuk ke masjid dengan adab yang perlu dijaga.
“Ini sesuai dengan hadis Nabi menerima kesalahan Badawi yang kencing di masjid, kisah Thumamah bin Uthal dan penemuan utusan Kristian Najran di masjid.
“Pun begitu, kemasukan mereka perlulah bertepatan dengan adab yang digariskan seperti tidak mengganggu dan menimbulkan sesuatu yang menggusar jiwa orang yang beribadah,” hurainya lagi.
Tambah ahli akademik itu, ia seperti dinyatakan oleh Majlis Fatwa Jordan:
“Sesungguhnya Nabi melarang kita menyakiti orang yang sedang beribadah di masjid dan mengganggu mereka, maka adalah lebih utama untuk tidak dibenarkan kepada orang bukan Islam yang akan menyibukkan ahli masjid daripada apa yang sedang mereka lakukan dalam beribadah dan kebaikan,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!