Pemandu JKR maut dalam perjalanan ke tempat kerja
ALOR GAJAH - Seorang pemandu Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka maut dalam perjalanan ke tempat kerja selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda BRV di Jalan Solok Duku, Masjid Tanah, di sini, pada pagi Isnin.
Dalam kejadian lebih kurang jam 8.47 pagi, mangsa, Mohd Huzzaimy Ramli, 34, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dalam perjalanan ke tempat kerjanya dari arah Masjid Tanah menghala ke Sungai Udang.
Menurutnya, setiba di lokasi, kenderaan SUV yang dipandu seorang guru lelaki dari arah Sungai Udang menghala ke Masjid Tanah hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.
"Mangsa yang tidak dapat menggelak dirempuh kenderaan yang dipandu oleh guru berusia 46 tahun itu.
"Akibat rempuhan itu mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat, manakala guru terbabit dihantar mendapatkan rawatan di zon kuning hospital kerana mengalami sesak nafas.
Menurutnya, siasatan awal mendapati punca kemalangan disebabkan pemandu kenderaan itu hilang kawalan, lalu masuk ke arah bertentangan dan terlanggar mangsa yang berada di hadapannya.
"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!