Tanah runtuh: Laluan dibuka semula kepada semua kenderaan
CAMERON HIGHLANDS - Laluan di Kilometer (KM) 84, Batu 59 Jalan Besar Kampung Raja telah dibuka kepada semua kenderaan pada jam 12 tengah hari selepas ditutup ekoran tanah runtuh pada awal pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintenden Azri Ramli berkata, kejadian itu menyebabkan laluan jalan utama terhalang oleh tanah dan pokok-pokok yang tumbang.
Menurutnya, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 2.45 pagi.
"Kejadian tanah runtuh juga berlaku di Batu 33 Jalan Utama Ringlet ke Tanah Rata.
"Bagaimanapun, dalam kedua-dua insiden ini tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku," katanya.
Dalam kejadian tersebut, tanah runtuh berlaku disebabkan hujan lebat berterusan sejak petang Ahad.
Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian tersebut.
Jelasnya, jika mempunyai sebarang maklumat, boleh menghubungi Bilik Gerakan (DCC) di 05-4915999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!