Gelendangan ditemukan mati di dalam sungai
GEORGE TOWN - Penduduk di sekitar Kampung Rawa di sini gempar dengan penemuan mayat seorang lelaki tanpa identiti di dalam sungai di sini pada petang Isnin.
Susulan daripada itu, penduduk berdekatan menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan berhubung penemuan mayat lelaki tersebut.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan mayat tersebut pada jam 1.30 tengah hari.
"Orang awam memberitahu mereka terjumpa mayat lelaki itu dalam keadaan tertiarap di dalam sungai berdekatan Masjid Kampung Rawa di sini.
"Siasatan polis di tempat kejadian mendapati, mayat itu merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 72 tahun dan dipercayai merupakan seorang gelandangan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati, gelendangan itu sering kali dilihat berada di kawasan berhampiran tempat kejadian.
"Hasil siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah berlaku dalam kes ini. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan.
"Mayat lelaki itu telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!