Juruterbang lebur RM1.36 juta dijerat scammer pelaburan
SHAH ALAM - Juruterbang syarikat penerbangan tempatan rugi RM1.36 juta selepas diperdaya pelaburan tidak wujud di laman sosial Instagram.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, laporan diterima oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang daripada mangsa berusia 50 tahun.
Katanya, mangsa tidak dijanjikan pulangan segera namun diberitahu untuk melabur sebanyak yang boleh bagi mendapatkan pelbagai faedah sebelum diberikan satu pautan ke laman web aplikasi UVKXE oleh suspek.
"Mangsa kemudian diajar cara menggunakan aplikasi terbabit.
"Kemudian, mangsa telah membuat sebanyak 34 transaksi kemasukan wang berjumlah RM1,366,885 bermula Oktober sehingga Disember 2024 ke dalam akaun bank berlainan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, mangsa mendapat pulangan sekali sahaja iaitu RM4,300 daripada keseluruhan wang yang dilaburkan.
Menurut Hussein, suspek kemudian memaklumkan untuk melakukan pengeluaran daripada aplikasi terbabit dengan hanya menekan butang 'icon' withdrawal dan memasukkan amaun yang mahu dikeluarkan.
"Suspek mendakwa wang itu akan dimasukkan ke dalam akaun mangsa dalam tempoh 24 jam. Namun, tiada sebarang kemasukan sebelum mangsa membuat laporan polis," ujarnya.
Tegasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Jelas beliau, polis mengingatkan masyarakat agar sentiasa berwaspada dengan tawaran pelaburan di platform media sosial yang menjanjikan pulangan tidak munasabah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!