LZS cari bapa tunggal dukung bayi, tolak motosikal kehabisan minyak
HULU LANGAT - Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai seorang bapa tunggal yang tular kerana dipercayai membesarkan anak kecilnya seorang diri selepas kehilangan isteri diminta berhubung dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS).
LZS menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerusi Skuad Saidina Umar (SSU) bersama pasukan Operasi Agihan Daerah Hulu Langat sedang menjejaki lelaki tersebut.
"Kami ada cuba menghubungi pemilik asal hantaran di akaun Facebook dan mendapat kerjasama dengan memberikan maklumat alamat tempat tinggal lelaki tersebut.
"Hasil siasatan ke alamat yang diberikan, pihak kami mengesahkan rumah tersebut tidak berpenghuni dan jiran tetangga juga menyatakan rumah tersebut telah lama dikosongkan serta bukanlah didiami oleh pasangan atau bapa tunggal tersebut malah daripada gambar yang diberikan, jiran juga tidak mengenalinya.
"Rondaan diteruskan sehingga petang ke lokasi-lokasi yang digambarkan dalam hantaran Facebook tersebut. Pihak kami masih belum berjaya menemui bapa dengan bayi itu. Usaha terus giat dilaksanakan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Sebelum ini, tular di media sosial pengguna Facebook, Azhar Zainudin memuat naik hantaran mengenai kisah lelaki tersebut yang menolak motosikalnya kerana kehabisan minyak di tepi jalan sambil mendukung bayi dianggarkan berusia tiga bulan.
Menurut hantaran itu, lelaki berkenaan memberitahu bahawa isterinya meninggal dunia beberapa bulan lalu dan sejak itu dia menjadi satu-satunya penjaga kepada anak kecil tersebut.
Selain itu, lelaki itu juga dipercayai kehilangan pekerjaan sebagai pemandu kerana sering mengambil cuti demi menjaga bayi tersebut selain berkongsi bahawa usaha mendapatkan bantuan daripada pihak yang berwajib sering menemui jalan buntu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!