Usah terpukau lihat kemunculan pendekar-pendekar jadian - Kamil Munim

Muhammad Kamil
Muhammad Kamil
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim menyelar tindakan pembangkang yang cuba mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu Titah Adendum membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, tiada perkara yang hendak disembunyikan, sebaliknya kerajaan pimpinan Ahli Parlimen Tambun itu memilih untuk hormat kepada proses undang-undang.

"Cuma yang dangkal sahaja sukar mengerti. Setelah agama dan Datuk Seri Najib ditunggang, lalu kini cuba pula menunggang institusi diraja?

"Lupakah siapa dahulu yang sering mengundang rasa dukacita Yang di-Pertuan Agong?

"Justeru usah pula terpukau melihat kemunculan pendekar-pendekar jadian dan jagoan kesiangan," katanya menerusi hantaran di aplikasi X pada Isnin.

Penjelasan Muhammad Kamil itu dibuat sebagai respons balas kepada kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mendakwa mustahil Anwar tidak tahu sama sekali tentang kewujudan Titah Adendum yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 buat Najib.

Dakwanya lagi, ia kerana seorang ketua kerajaan bertanggungjawab sepenuhnya bagi melaksanakan mana-mana titah Yang di-Pertuan Agong termasuk Titah Adendum.

Najib pada Isnin berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Artikel Berkaitan:

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dengan majoriti 2-1, membenarkan rayuan bekas Ahli Parlimen Pekan, 72 untuk mendapatkan kebenaran itu.

Keputusan majoriti dicapai oleh Azhahari dan Mohd Firuz sementara Azizah menentang keputusan terbabit.

Ketika membaca keputusan, Mohd Firuz berkata, mahkamah memerintahkan kes terbabit diremitkan atau dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya merit semakan kehakiman ini diputuskan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!