'Kerajaan perlu jawab siapa sorok Titah Adendum' - Dr Akmal

Muhamad Akmal Saleh
Muhamad Akmal Saleh
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa supaya memberi penjelasan mengenai pihak yang bertanggungjawab menyembunyikan Titah Adendum membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi merungkai segera sebarang persoalan.

Ini kerana menurut Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, kenyataan terbaharu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa pihaknya hanya menerima dua surat iaitu pengurangan tempoh pemenjaraan dan pengurangan denda Najib menggambarkan seolah-olah ia tiada kaitan dengan titah berkenaan.

"Merafak sembah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM), Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di atas pengesahan Titah Adendum yang telah dibacakan di dalam prosiding pagi tadi.

"Maka, jika di mahkamah tadi telah disahkan Titah Adendum itu wujud, malah disahkan oleh Pengelola Bijaya Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Abdul Rahman yang mewakili Al-Sultan Abdullah dan dihantar kepada, Datuk Mohd Nizar.

"Persoalannya siapa yang sorok titah ini? Kita mohon pihak kerajaan untuk menjawab," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Saifuddin Nasution sebelum itu memaklumkan, Jabatan Penjara tidak pernah menerima sebarang perintah daripada Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya untuk membenarkan Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan menjalani baki tempoh hukuman penjara di rumah.

Beliau berkata, agensi itu hanya menerima minit mesyuarat dan perintah untuk melaksanakan keputusan mesyuarat lembaga berkenaan sebagaimana yang diputuskan pada 29 Januari 2024.

Menurutnya, perintah yang ditandatangani Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa itu hanya mengarahkan Jabatan Penjara memendekkan tempoh hukuman penjara kepada 23 Ogos 2028 dan mengurangkan denda kepada RM50 juta.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah Rayuan pada Isnin memberi kebenaran kepada Najib bagi memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dengan majoriti 2-1, membenarkan rayuan bekas Ahli Parlimen Pekan, 72 untuk mendapatkan kebenaran itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!