PM Singapura tiba di Malaysia untuk lawatan rasmi dua hari

Lawrence memeriksa perbarisan kawalan kehormatan Rejimen Renjer Diraja setibanya di KLIA. Foto Bernama
Lawrence memeriksa perbarisan kawalan kehormatan Rejimen Renjer Diraja setibanya di KLIA. Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong tiba di Malaysia hari ini bagi memulakan lawatan rasmi dua hari beliau bersempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11, pada Selasa.

Beliau bersama delegasinya tiba di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6.15 petang menaiki penerbangan komersial dan diberikan kawalan kehormat oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja di bawah pimpinan Kapten Iskandar Dzulkarnein Doa Hassan di Kompleks Bunga Raya di sini.

Ini merupakan lawatan kali kedua Lawrence ke Malaysia sejak menjawat jawatan itu pada 15 Mei 2024. Lawatan pertamanya pada 11 Jun tahun lepas.

Beliau yang ditemani isterinya, Loo Tze Lui, disambut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Lawrence disambut Dr Zambry setibanya di Kompleks Bunga Raya KLIA pada Isnin. Foto Bernama
Lawrence disambut Dr Zambry setibanya di Kompleks Bunga Raya KLIA pada Isnin. Foto Bernama

Perdana Menteri Singapura itu akan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, esok diikuti dengan mesyuarat delegasi Pemukiman Pemimpin bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Wisma Putra dalam satu kenyataan semalam memaklumkan kedua-dua pihak dijangka menilai kemajuan hubungan dua hala Malaysia-Singapura, serta membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Kedua-dua pemimpin juga dijadual menyaksikan pertukaran Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), enam Memorandum Persefahaman (MoU) dan satu Surat Niat (LOI) mengenai pendidikan, wanita dan kebajikan sosial, perubahan iklim, penangkapan dan penyimpanan karbon, pembangunan bandar, serta usaha memerangi jenayah rentas sempadan.

Artikel Berkaitan:

JS-SEZ bertujuan untuk membawa manfaat bersama kepada perniagaan dan orang ramai daripada kedua-dua pihak, termasuk meningkatkan aliran barangan dan orang ramai, menambah baik kemudahan menjalankan perniagaan dan menyokong pembangunan bakat.

Sebagai jiran rapat dan anggota pengasas ASEAN, Malaysia dan Singapura menjalin hubungan erat dan meluas dalam pelbagai bidang.

Kedua-dua negara kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar antara satu sama lain, dengan jumlah dagangan dua hala mencecah AS$78.59 bilion (RM360.12 bilion) dari Januari hingga November 2024, meningkat sebanyak 6.7 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023.

Tahun ini juga merupakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!