Skuad Sukarelawan AL Ahamdi turun padang bantu mangsa banjir

Skuad Sukarelawan AL Ahamdi bersama murid bergotong-royong membersihkan sekolah.
Skuad Sukarelawan AL Ahamdi bersama murid bergotong-royong membersihkan sekolah.
A
A
A

KOTA BHARU - Skuad Sukarelawan AL Ahamdi, yang diasaskan pada 2014, sekali lagi melaksanakan misi membantu mangsa banjir di Pasir Mas yang masih berdepan trauma selepas rumah mereka dinaiki air.

Skuad berkenaan bukan sahaja membantu membersihkan kediaman dan masjid, malah turut mengagihkan 610 pek makanan mengandungi keperluan harian termasuk beras, telur, gula dan gandum.

Pengasas Skuad Sukarelawan AL Ahamdi, Abdul Halim Abdul Rahman berkata, mereka berkolaboratif dengan Keluarga Besar Al Ahmadi (PKAA), Persatuan Penduduk Puncak Bangi, Alumni Victoria Institution 78, Alumni Lepasan Asasi Sains, Universiti Malaya dan 4WD Charity Community.

"Kami memilih Masjid Al-Alimi Pasir Mas sebagai pusat bantuan sepanjang misi kemanusiaan selama hampir dua minggu yang berakhir 19 Disember lalu," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, misi berkenaan hasil usaha enam individu penting dari Pusat Kebajikan & Dakwah Singgah Teduh Nur Qaseh (STNQ) iaitu Wan Khairul Effendy Rosazman, Muslim Datang, Yusni Razak, Al Aspuri Malik, Zaidi Bahak dan Ali Abdul Rahman

Katanya, misi itu bertujuan membantu keluarga, rakan, guru dan sekolah terlibat dengan musibah banjir pada Disember lalu.

"Kami turut membantu membersihkan Sekolah Kebangsaan (SK) Bakung, SK Kok Pauh, SK Kubang Kuau, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meranti dan SK Gelang Mas yang juga di jadikan pusat agihan makanan dan pakaian," katanya.

Tambahnya, penduduk Kampung Lumpor, Tok Rusa, Serungga dan penduduk sekitar masjid turut menerima bantuan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Abdul Halim berkata, mangsa banjir turut menerima pakaian muslimah daripada pengasas Ainnur Collection yang turut sama menyertai skuad berkenaan.

Katanya, cabaran terbesar misi Disember 2024 ialah kekurangan punca air paip mengakibatkan terpaksa berkongsi air boring, menggunakan air telaga dan logistik.

"Kami cuba menggunakan peralatan yang ada termasuk satu generator dan enam penyembur air secara maksimum bagi membolehkan misi berjalan lancar," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!