Ejen pengangkutan didakwa sebar berita palsu Covid-19
KUALA LUMPUR - Seorang ejen pengangkutan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menyebarkan berita palsu berkaitan koronavirus (Covid-19) di Facebook, bulan lalu.
Tertuduh Shamsul Anuar Mohd Khairi, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret M Saravanan.
Menurut fakta kes, tertuduh telah menyebarkan khabar angin bahawa virus itu berada di dalam bas persiaran yang digunakan oleh pelancong China di Malaysia dan virus itu akan aktif pada musim panas melampau, dengan niat atau mungkin menyebabkan ketakutan kepada orang awam.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Wangsa Maju di sini pada jam 9.53 pagi pada 27 Januari lepas mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun peguam, P Suthes yang mewakili tertuduh memohon jaminan ditawarkan kerana anak guamnya perlu menyara isteri serta lima anak.
Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM 6,500 dengan seorang penjamin, selain tertuduh perlu melaporkan diri di Balai Polis Dang Wangi seminggu sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah
Mahkamah turut menetapkan 10 April depan untuk serahan dokumen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!