Arsenal, City rebut Zubimendi
ARSENAL dan Manchester City mungkin akan bersaing untuk mendapatkan Martin Zubimendi bulan depan, menurut laporan.
Pemain tengah itu telah menarik perhatian beberapa kelab elit Eropah selepas dia mempamerkan persembahan cemerlang bersama Real Sociedad dan pasukan kebangsaan Sepanyol.
City sedang mencari pemain tengah bertahan selepas kehilangan tonggak utama mereka, Rodri yang terpaksa disisihkan sepanjang musim ini akibat kecederaan.
Arsenal juga difahamkan berminat dengan Zubimendi, yang dilaporkan menolak tawaran perpindahan ke Liverpool pada musim panas lalu.
Wartawan terkemuka Itali, Fabrizio Romano bagaimanapun mendedahkan kelab-kelab yang memantau Zubimendi mungkin berdepan kesukaran untuk mendapatkan khidmatnya pada jendela perpindahan kali ini yang dibuka sehingga 3 Febuari depan.
“Ada seorang pemain yang merupakan sasaran impian bagi semua kelab besar di Eropah iaitu Martin Zubimendi.
“Kelab-kelab elit ini mahu mendapatkan Zubimendi dari Real Sociedad, tetapi perkara utama adalah Zubimendi pada masa ini masih belum membuka pintu untuk perpindahan pada Januari.
“Mungkin pada musim panas akan datang tetapi untuk Januari, situasinya masih sama. Jadi saya tidak pasti ia akan berlaku,” katanya kepada Men in Blazers.
Zubimendi dipercayai mempunyai klausa pembelian bernilai £51.7 juta (RM291 juta) dalam kontraknya bersama Sociedad, walaupun walaupun klausa itu dipicu, ia mungkin sukar untuk memujuk pemain Sepanyol itu meninggalkan kelab.
Namun, sumber mendakwa Zubimendi telah berubah fikiran dan kini berminat untuk bermain di Liga Perdana Inggeris (EPL).
Keadaan ini telah membuatkan City dalam keadaan berjaga-jaga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!