Arif Aiman ikon pemain muda tempatan

Arif Aiman
Arif Aiman
A
A
A

BINTANG kelab Liga Malaysia (Liga-M), Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi terus konsisten menyerlahkan kehebatan apabila mempamerkan aksi luar biasa bersama Harimau Selatan terutamanya dalam saingan domestik dan Asia sepanjang 2024.

Pemain sayap lincah berusia 22 tahun itu yang bernilai sekitar 600,000 euro (RM2.79 juta) seperti dicatatkan laman sesawang transfermarkt membuka gelanggang 2024 dengan status Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2023 (ABK23) buat kali ketiga berturut-turut.

Selain muncul pemain kedua melakar hatrik memenangi MVP, Arif Aiman juga mendominasi empat lagi anugerah Penyerang Terbaik, Pemain Muda Terbaik, Gol Terbaik Liga Malaysia 2023 serta berkongsi Anugerah Kasut Emas Liga Super Kategori Pemain Tempatan bersama bintang Selangor FC, Faisal Abdul Halim, masing-masing jaring 12 gol.

Pentas Piala FA 2024, Arif Aiman membuka akaun gol selepas menyempurnakan sepakan penalti minit ke-94 untuk melengkapkan kemenangan 4-0 ke atas Kelantan dalam perlawanan pusingan 16 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Beliau kemudian melabuh tirai Piala FA dengan sekali lagi menjadi antara penyumbang gol minit ke-42 ketika menumbangkan Selangor FC, 6-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memastikan trofi kejuaraan kekal di kabinet kelab selatan itu kali ketiga berturut-turut sejak 2022.

Persembahan Arif Aiman dalam saingan Liga Super juga tidak mengecewakan apabila berjaya menjelmakan jaringan penting selain bantuan gol kepada rakan sepasukan Harimau Selatan seterusnya membantu JDT mengekalkan penguasaan di tangga teratas liga biarpun berdepan kepadatan jadual dan tekanan tinggi menguji ketahanan mental serta fizikal setiap pemain.

Malah pemain berusia 22 tahun itu kini menduduki senarai tangga ketujuh Liga Super selepas menjaringkan tujuh gol setelah beraksi dalam 13 perlawanan di belakang pemain import Selangor dari Cape Verde, Alvin Fortes dengan peledak Harimau Selatan, Bergson da Silva, kekal memimpin kedudukan teratas dengan 21 gol.

Saingan Piala Malaysia pula, Arif Aiman masih belum mempamerkan belangnya, namun masih berpeluang mencetak nama selaku penjaring apabila penyandang juara itu sudah mengesah slot pertemuan menentang Terengganu FC bimbingan Badrul Afzan Razali di pentas separuh akhir pada 17 Januari dan 1 Februari depan.

Artikel Berkaitan:

Namun di sebalik itu musim 2024 lebih bermakna buat Arif Aiman apabila berjaya menempatkan diri dalam senarai penjaring terbaik Asia dengan empat gol dalam menggalas cabaran Harimau Selatan kendalian Hector Bidoglio yang buat pertama kali beraksi dalam format baharu kejuaraan tertinggi kelab Asia iaitu Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE).

Perlawanan pertama menentang Shanghai Port kendalian Kevin Muscat, Arif Aiman meledak dua gol minit ke-45 dan m-56 untuk memastikan satu mata dibawa keluar dari bumi China yang kemudian momentum tersebut diteruskan dengan gol m-11 ketika menumbangkan satu lagi kelab China, Shanghai Shenhua, 3-0 di Iskandar Puteri sebelum sekali lagi tampil dengan jaringan sama minit kelapan semasa menjinakkan kelab Korea Selatan, Ulsan HD FC kendalian Kim Pan-gon, 3-0 di venue sama.

Saingan Liga Super, Piala Malaysia dan ACLE akan bersambung semula pada Januari 2025, dan pastinya sentuhan memukau Arif Aiman yang menjadi ikon dalam kalangan komuniti bola sepak generasi muda negara amat dinantikan sekali lagi.

Liga-M menanti Arif Aiman 2.0

Pemain-pemain tempatan masih boleh menonjolkan potensi diri dalam saingan Liga Super sama seperti Arif Aiman biarpun kelab Liga-M lebih selesa menggunakan kudrat import terutamanya dalam memperkuatkan jentera pasukan masing-masing.

Tidak menafikan kelibat import antara tuntutan bola sepak era moden legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail berkongsi pandangan bahawa pengendali pasukan Liga-M juga memainkan peranan penting dalam menyerlahkan potensi pemain muda tempatan masing-masing.

“Arif Aiman seperti saya katakan sebelum ini merupakan intelligent players, bayangkan pada usia lapan tahun dia sudah boleh mengawal rentak, ketangkasan dan menggelecek satu hingga tiga pemain lawan semasa menguasai bola selain boleh bermain dengan kedua-dua belah kaki kemudiannya digilap sepenuhnya JDT.

“Dan dalam pasukan besar Liga Super lain sebenarnya masih wujud Arif Aiman 2.0, cuma bakat mereka ini tidak digilap pada tahap optimum untuk melahirkan lebih ramai pemain setaraf Arif Aiman. Ketua jurulatih setiap pasukan perlu ambil inisiatif gilap potensi pemain muda seperti dilakukan JDT,” katanya.

*Zuraimee Zainal Penolong Editor Sukan Sinar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!