Titah Adendum: Suhu politik negara kembali panas

Para penyokong hadir memberikan sokongan kepada Najib pada Isnin. Foto hiasan
Para penyokong hadir memberikan sokongan kepada Najib pada Isnin. Foto hiasan
A
A
A

KEPUTUSAN Mahkamah Rayuan yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum menghangatkan kembali suhu politik negara.

Ia berikutan, panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dengan majoriti 2-1, membenarkan rayuan bekas Ahli Parlimen Pekan, 72, untuk mendapatkan kebenaran itu.

Perkembangan terbaharu itu turut mencetuskan persoalan ramai tentang bagaimana perkara penting sedemikian boleh terlepas pandang hingga menimbulkan persepsi mungkin wujud dalang di sebaliknya yang cuba menyembunyikan hal tersebut.

Apa yang pasti, di sebalik sinar baharu buat Najib yang juga bekas Presiden UMNO itu, wujud desakan daripada pelbagai pihak termasuk pembangkang supaya kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil tanggungjawab kerana didakwa gagal melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong dalam perkara membabitkan titah berkenaan.

Sebagai contoh, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataan memaklumkan mustahil Anwar tidak tahu sama sekali tentang kewujudan Titah Adendum yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 kepada Najib.

Beliau mendakwa, ia kerana seorang ketua kerajaan bertanggungjawab sepenuhnya bagi melaksanakan mana-mana titah Yang di-Pertuan Agong termasuk titah tersebut.

Selain Hamzah, beberapa pemimpin lain turut mendesak kerajaan supaya bertanggungjawab atas kekhilafan berkenaan.

Bagaimanapun, kenyataan terbaharu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa Jabatan Penjara tidak pernah menerima sebarang perintah daripada Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Pesekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya untuk membenarkan Najib menjalani baki tempoh hukuman penjara di rumah turut mencetuskan persoalan.

Artikel Berkaitan:

Menurut saifuddin Nasution, agensi itu hanya menerima minit mesyuarat dan perintah untuk melaksanakan keputusan mesyuarat lembaga berkenaan sebagaimana yang diputuskan pada 29 Januari 2024.

Susulan kenyataan itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh tampil menggesa kerajaan supaya memberi penjelasan mengenai pihak yang bertanggungjawab menyembunyikan Titah Adendum berkenaan bagi merungkai segera sebarang persoalan.

Ini kerana menurut Muhamad Akmal, kenyataan Saifuddin Nasution bahawa pihaknya hanya menerima dua surat iaitu pengurangan tempoh pemenjaraan dan pengurangan denda Najib menggambarkan seolah-olah ia tiada kaitan dengan titah berkenaan.

Apa yang menjadi persoalan ketika ini, siapa yang bertanggungjawab dengan titah berkenaan yang seakan-akan cuba disembunyikan apabila pihak kerajaan sebelum ini didakwa tidak mempunyai maklumat mengenainya.

Jawapan tepat oleh kerajaan ini sememangnya ditunggu-tunggu bagi mengetahui siapa yang sebenarnya bertanggungjwab penuh terhadap 'kehilangan' Titah Adendum tersebut.

Dengan adanya jawapan yang jelas itu setidak-tidaknya mampu mengurangkan suhu panas politik negara khususnya di pihak yang berada di belakang Najib yang mahukan keadilan buatnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!