'Amukan' ribut musim sejuk Blair
WASHINGTON - Letusan Artik yang menyebabkan suhu dan angin sejuk melampau sedang melanda sebahagian besar Amerika Syarikat (AS) bermula Ahad.
Keadaan cuaca buruk itu menjejaskan kawasan dari Lembah Sungai Ohio hingga ke wilayah Pertengahan Atlantik yang tidak pernah berdepan situasi tersebut selama sedekad.
Ribut luar biasa digelar ribut musim sejuk Blair tersebut turut membawa salji tebal bersama hujan beku ke dua pertiga kawasan timur AS hingga mengakibatkan ribuan jadual penerbangan terpaksa dibatalkan di seluruh lapangan terbang di Midwest.
Selain itu, pihak berkuasa di beberapa negeri menyarankan orang ramai supaya kekal duduk di rumah dan hanya keluar untuk tujuan kecemasan sebagai langkah keselamatan.
“Lebih 80 juta penduduk bakal menyaksikan salji setebal hingga 30 sentimeter dalam tempoh lebih 10 tahun,” menurut pusat ramalan kaji cuaca dalam satu kenyataan.
Udara Artik yang bertiup ke selatan AS turut merekodkan suhu menjunam kepada satu digit di kawasan Texas hingga menyebabkan pihak berkuasa mengeluarkan amaran cuaca sejuk beku di Florida.
Ribut petir luar biasa juga melanda Mid-South dan dikhuatiri mencetuskan tornado di kawasan Arkansas, Louisiana dan Texas.
Ketika ini, banyak negeri termasuk Arkansas, Kentucky, Missouri dan Virginia mengeluarkan perintah darurat susulan cuaca buruk itu malah Washington juga berada di bawah amaran salji sehingga Selasa.
“Ribut musim sejuk ini berkemungkinan akan mengakibatkan gangguan ketara dan membahayakan pengguna lalu lintas serta menyebabkan gangguan bekalan kuasa elektrik di kebanyakan kawasan sebelum ia menjadi sejuk melampau pada minggu ini,” ujar Gabenor Kentucky, Andy Beshear.
Difahamkan, ribut musim sejuk pada kali ini diramal memecahkan rekod taburan salji di beberapa bandar. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!