'Tiada masalah harga naik jika kualiti dijaga'

Penggemar kopi bakal membayar harga mahal susulan lonjakan harga biji kopi. Gambar hiasan, gambar kecil dari kiri: Muhd Nukman, Muhammad Anif, Nur Aina Syazamira, Muhamad Hafiz, Siti Zulaikha
Penggemar kopi bakal membayar harga mahal susulan lonjakan harga biji kopi. Gambar hiasan, gambar kecil dari kiri: Muhd Nukman, Muhammad Anif, Nur Aina Syazamira, Muhamad Hafiz, Siti Zulaikha
A
A
A

SHAH ALAM - Kenaikan harga biji kopi import berkemungkinan akan menyebabkan pemilik kafe di Malaysia bertindak meningkatkan harga jualan bagi menampung kos perbelanjaan bahan mentah.

Hasil tinjauan Sinar Harian mendapati, peminat kopi tidak mempunyai masalah sekiranya keadaan itu berlaku tetapi menuntut peniaga memastikan kualiti minuman yang dihidangkan sesuai dengan harga ditawarkan.

Pegawai psikologi, Muhammad Anif Mohd Robi, 28, berkata, sebahagian daripada peminat kopi sudah pasti memahami situasi tersebut kerana ia tidak dapat dikawal disebabkan keadaan global yang mempengaruhi nilai produk berkenaan.

"Sudah tentu dengan harga yang lebih mahal, maka kami (pelanggan) juga akan mempunyai jangkaan lebih tinggi kepada kualiti biji kopi dan minuman yang ditawarkan di mana-mana kafe terlibat.

"Saya sebenarnya jarang membeli air kopi di kedai, kecuali ketika promosi atau pada masa tertentu seperti waktu bekerja dan memandu jauh. Mungkin selepas ini, saya ambil inisiatif lain seperti membancuh sendiri di rumah untuk menjimatkan perbelanjaan bagi memberi keutamaan kepada keperluan," katanya pada Isnin.

Turut berkongsi pendapat sama, pekerja swasta, Nur Aina Syazamira Ruslan, 25, berkata, dia memahami tindakan pengusaha kafe menaikkan harga jualan.

Ujarnya, sekiranya situasi itu benar-benar berlaku dia akan mengurangkan kadar pembelian kopi di kafe daripada setiap hari kepada dua ke tiga kali sahaja seminggu.

Sementara itu, pencipta kandungan, Muhamad Hafiz Mohd Arif, 25, berkata, dia akan mengurangkan pembelian di luar dan memilih untuk membancuh kopi segera sahaja di rumah jika berlaku kenaikan harga yang sangat ketara.

Artikel Berkaitan:

"Kalau naik sikit-sikit mungkin boleh pertimbangkan lagi sebab saya memang peminat kopi tetapi dengan kenaikan kos sara hidup kini, kita kena pandai urus kewangan mengikut keperluan masing-masing.

"Boleh beli tapi tidak akan kerap macam sekarang, kalau teringin sangat pun mungkin boleh bancuh sendiri kat rumah menggunakan kopi segera tiga dalam satu," katanya.

Penjawat awam, Muhd Nukman Md Rodzi, 25, pula berkata, mungkin sebahagian daripada peminat kopi tidak akan berasa amat terkesan dengan kenaikan tersebut.

Menurutnya, seseorang akan melakukan pembahagian wang yang mencukupi untuk self reward setelah penat bekerja dan sebagai motivasi untuk terus bersemangat.

Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Zulaikha Zubaidi, 24, menyarankan pemilik kafe mengumumkan mengenai kenaikan harga minuman di premis masing-masing agar pelanggan tidak terkejut.

"Mereka boleh maklumkan kepada pembeli menerusi media sosial kafe berkaitan situasi tersebut. Jika pemilik tidak mahu naikkan harga terlalu tinggi, mereka boleh cari pembekal tempatan yang lebih murah dan berunding untuk mendapatkan biji kopi berkualiti dengan harga jauh lebih murah," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!