Pemandu tersepit lori jatuh gaung
BENTONG - Seorang lelaki tersepit di bawah kepala lori dan timbunan besi selepas kenderaan dipandunya terbabas ke dalam gaung di Kilometer (KM) 42.1 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah Kuantan di sini pada Isnin.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, status mangsa itu masih belum dikenal pasti.
Menurutnya, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong bersama dua jentera dikerahkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada jam 8.17 malam.
"Komander operasi melaporkan terdapat kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori yang membawa muatan besi terbabas ke dalam gaung sedalam kira-kira 20 meter.
"Terdapat mangsa iaitu seorang lelaki dewasa disyaki berada di bawah kepala lori dan timbunan besi," katanya.
Tambah beliau, pasukan bomba membuat kerja-kerja pencarian di sekitar kawasan bagi mencari mangsa.
"Pasukan bomba juga menggunakan bantuan unit anjing pengesan untuk mengesan mangsa.
"Setakat ini, mangsa masih belum dijumpai dan operasi pencarian masih dijalankan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!