PM Kanada umum letak jawatan ketua parti

Justin Trudeau
Justin Trudeau
A
A
A

HAMILTON - Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Parti Liberal pada Isnin, lapor Agensi Anadolu (AA).

"Saya berhasrat untuk meletak jawatan sebagai ketua parti dan Perdana Menteri selepas parti memilih pemimpin seterusnya melalui proses yang kompetitif dan menyeluruh di seluruh negara," kata Trudeau pada sidang media di Rideau Cottage, Ottawa.

Menyatakan beliau "amat" mengambil berat tentang Kanada dan rakyatnya, Trudeau berkata: "Saya akan sentiasa didorong oleh apa yang terbaik untuk rakyat Kanada."

"Hakikatnya, meskipun pelbagai usaha telah dilakukan, Parlimen telah terhenti selama berbulan-bulan," katanya sambil mengumumkan penggantungan Parlimen.

Sebelum mengumumkan peletakan jawatannya, Trudeau berkata beliau telah bertemu dengan Gabenor Jeneral Kanada Mary Simon dan meminta agar Parlimen digantung sehingga 24 Mac, langkah yang dijangka memberi masa kepada Parti Liberal untuk mencari pemimpin baharu.

Peletakan jawatan Trudeau dibuat di tengah-tengah rasa tidak puas hati yang semakin meningkat dalam partinya serta penurunan kadar sokongan awam, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai keupayaannya untuk memenangi pilihan raya akan datang, berdepan sokongan parti pembangkang Konservatif yang semakin meningkat.

Antara calon berpotensi untuk menggantikan Trudeau, termasuk Menteri Luar Melanie Joly, Menteri Inovasi Francois-Philippe Champagne dan bekas jurubank pusat Mark Carney.

Trudeau dipilih sebagai pemimpin Parti Liberal pada April 2013 dan menjadi perdana menteri Kanada selepas memenangi pilihan raya Oktober 2015 dengan kemenangan besar.

Artikel Berkaitan:

Di bawah kepimpinannya, Parti Liberal memenangi pilihan raya pada Oktober 2019 dan September 2021.

Beliau bukan sahaja dikenali sebagai perdana menteri Kanada ke-23, tetapi juga anak kepada perdana menteri ke-15 negara itu, Pierre Trudeau.

Sementara itu, pilihan raya umum Kanada seterusnya dijadual untuk diadakan pada Oktober 2025. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!