Scammer guna nombor hotline polis perdaya mangsa

Sindiket penipuan dalam talian seolah-olah mencabar polis apabila menggunakan nombor talian hotline IPD Port Dickson bagi tujuan penipuan.Gambar hiasan
Sindiket penipuan dalam talian seolah-olah mencabar polis apabila menggunakan nombor talian hotline IPD Port Dickson bagi tujuan penipuan.Gambar hiasan
A
A
A

PORT DICKSON - Sindiket penipuan dalam talian seolah-olah mencabar polis apabila menggunakan nombor talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson bagi tujuan penipuan.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, modus operandi digunakan ialah memperdaya mangsa berkaitan kes-kes kesalahan trafik dan sebagainya.

"Sindiket akan menghubungi mangsa menggunakan talian hotline IPD Port Dickson 017-6001411 bagi tujuan memperdaya.

"Pihak polis IPD Port Dickson menegaskan yang talian hotline IPD hanya digunakan untuk urusan rasmi," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, talian berkenaan tidak akan digunakan untuk membuat panggilan kepada orang ramai serta tidak akan digunakan untuk meminta maklumat kewangan peribadi atau melibatkan sebarang transaksi kewangan.

Ujarnya, orang ramai diingatkan tidak mendedahkan maklumat peribadi atau kewangan kepada pihak tidak dikenali.

"Jangan terpedaya dengan penipuan atau kes-kes salah laku berkaitan jenayah atau kes kemalangan jalan raya atau saman melalui panggilan telefon.

"Berhati-hati dengan panggilan yang menggunakan ugutan atau tekanan psikologi dan sentiasa merujuk atau mengesahkan sebarang maklumat dengan polis di talian rasmi yang sahih," katanya.

Artikel Berkaitan:

Maslan berkata, jika menerima panggilan mencurigakan, orang ramai diminta membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran.

Tambahnya, pihaknya memandang serius isu berkenaan dan sedang menjalankan siasatan rapi untuk mengenal pasti pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Kami menyeru kerjasama orang ramai untuk sentiasa berwaspada terhadap ancaman penipuan ini," katanya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!