KDN larang enam penerbitan kerana kandungan memudaratkan moral
SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan perintah larangan terhadap enam penerbitan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) kerana ada kandungan yang mungkin memudaratkan moral.
Menerusi satu kenyataan, kementerian itu berkata, enam penerbitan terlibat ialah A Million Kisses In Your Lifetime oleh Monica Murphy, Lose You To Find Me (Erik J Brown), Scattered Showers (Rainbow Rowell), Punai (Asyraf Bakti), When Everything Feels Like The Movie (Raziel Reid) dan What If It’s Us (Becky Albertalli dan Adam Silverra).
Menurut KDN, tindakan yang diambil itu juga selaras dengan prinsip Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan bagi mengelakkan penyebaran ideologi atau gerakan yang bertentangan dengan budaya serta nilai-nilai murni masyarakat Malaysia yang majmuk.
"Perintah Larangan di bawah Akta 301 ini adalah berasaskan konsep kawalan dan pencegahan sebelum suatu ancaman atau kemudaratan itu berlaku. Dalam masa yang sama, masyarakat turut mendapat pendedahan dan kesedaran mengenai hasil-hasil penerbitan yang tidak diingini dan tidak sesuai untuk bacaan umum.
"Tindakan Perintah Larangan bagi kesemua hasil penerbitan yang berkenaan adalah selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 7(1) Akta 301 yang menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan enam hasil penerbitan tersebut yang mungkin memudaratkan kemoralan adalah dilarang secara mutlak di Malaysia," kata kementerian itu dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut kenyataan itu lagi, mana-mana individu yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar, atau ada dalam milikannya bagi apa-apa jua maksud boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya jika disabit bersalah.
"Kerajaan ingin menyatakan komitmen yang berterusan dalam melaksanakan tindakan kawal selia dan penguatkuasaan terhadap mesin cetak dan hasil penerbitan khususnya bagi mencegah penyebaran elemen, fahaman mahupun gerakan yang bercanggah dengan sosiobudaya tempatan selaras dengan peruntukan perundangan yang berkuat kuasa demi keharmonian dan kesejahteraan bersama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!