Wajibkan pemeriksaan berkala, integrasi sistem pemantauan automatik kenderaan berat - Lam Thye

Lam Thye
Lam Thye
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan disaran mewajibkan pemeriksaan berkala kenderaan berat dan mengintegrasikan sistem pemantauan automatik untuk mengelakkan peningkatan jumlah kemalangan di jalan raya.

Pengerusi Perikatan Untuk Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, cadangan tersebut juga boleh disertai dengan memperkuatkan mekanisme penguatkuasaan termasuk penalti lebih berat untuk pelanggaran keselamatan dan meningkatkan program latihan pemandu agar memenuhi standard antarabangsa.

“Nyawa yang hilang akibat kemalangan kenderaan berat bukan sekadar statistik...mereka adalah keluarga hancur dan komuniti berduka.

“Kita mesti bertindak sekarang untuk mengutamakan keselamatan semua pengguna jalan raya dan mencegah tragedi selanjutnya. Marilah kita bekerjasama menjadikan jalan raya kita lebih selamat buat semua,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi menangani isu keselamatan kenderaan berat secara menyeluruh.

Dalam ucapan pada majlis Amanat Tahun Baharu 2025 di Putrajaya pada Isnin Menterinya, Anthony Loke berkata, pasukan petugas khas itu akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan.

Dalam pada itu, Lam Thye juga berkata, pihaknya menyokong penuh penubuhan pasukan tersebut kerana ia menepati masa untuk mengelakkan peningkatan jumlah kemalangan dan penting untuk menangani kematian yang melibatkan kenderaan berat di jalan raya.

“Walaupun kenderaan berat termasuk lori kontena, lori tangki dan peralatan pembinaan penting untuk ekonomi, tetapi kehadiran mereka di jalan raya menimbulkan risiko keselamatan yang ketara.

Artikel Berkaitan:

“Tambah lagi, apabila langkah yang betul tidak dilaksanakan. Antara isu serius mempengaruhi keselamatan jalan raya adalah, penyelenggaraan kenderaan lemah seperti brek haus, tayar rosak dan sistem pencahayaan tidak berfungsi.

“Bukan itu sahaja, keletihan juga menjadi punca utama kerana mereka menghadapi waktu kerja panjang jadi ia menyebabkan keletihan dan penurunan keupayaan membuat keputusan,” ujarnya.

Jelas beliau, faktor lain yang mampu menjurus kepada kemalangan melibatkan kenderaan berat juga disebabkan oleh muatan berlebihan, latihan dan pelesenan tidak mencukupi, kelemahan penguatkuasaan, reka bentuk jalan tidak memadai serta kawasan rehat atau kemudahan logistik terabai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!