Nottingham Forest berpijak di bumi nyata

Nuno Espirito Santo
Nuno Espirito Santo
A
A
A

NOTTINGHAM Forest dituntut berpijak di bumi nyata selepas meraih kemenangan keenam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) berturut-turut setelah membelasah Wolverhampton Wanderers, 3-0 di Stadium Molineux pada Selasa.

Malah, pengendali The Tricky Trees, Nuno Espirito Santo juga tidak mahu pemain-pemain terpengaruh dengan prestasi luar biasa Nottingham Forest yang memasuki perebutan kejuaraan liga.

"Rasanya amat bagus. Kami bekerja keras untuk mencapai apa yang kami ada pada ketika ini.

"Hari ini adalah perlawanan yang sukar. Wolves mempunyai peluang dan Matz Sels sangat mengagumkan untuk mengekalkan kami dalam permainan. Saya sangat berbangga dengan etika kerja pemain-pemain dan keinginan untuk berada di hadapan dan menjaringkan gol.

"Ia pertandingan yang sangat sukar. Kami akan sentiasa berdepan dengan lawan yang sukar. Kami perlu kekal merendah diri. Kami belum mencapai apa-apa lagi, kami perlu bekerja sehingga ke penghujung dan ini boleh membawa kami ke detik yang baik," kata Nuno.

Jaringan minit ketujuh Morgan Gibbs-White, Christopher Grant Wood (m-44) dan pemain gantian Taiwo Awoniyi (m-94) memastikan anak buah Nuno berada di kedudukan ketiga liga dengan 40 mata di belakang Arsenal (40 mata) diikuti pendahului Liverpool (46 mata).

Nuno yang pernah mengemudi Wolverhampton Wanderers dari 2017 hingga 2021, berkata dia tetap realistik kemampuan Forest walaupun meraih 40 mata daripada 20 perlawanan, menyamai pencapaian Leicester City fasa sama musim 2015/16 apabila The Foxes mengejutkan komuniti liga tersebut.

“Cita-cita saya sentiasa sama. Sebagai kakitangan kejurulatihan kami mempunyai cita-cita semula jadi untuk meningkatkan pemain, inilah yang kami taksub.

Artikel Berkaitan:

"Jika kami meningkatkan pemain, pasukan akan bertambah baik dan jika pasukan bertambah baik, kelab juga akan bertambah baik dan bandar akan gembira," katanya.

Dalam pada itu, Nuno percaya keyakinan tinggi pemain-pemain menjelang pertembungan dengan Liverpool dalam aksi liga di Stadium City Ground pada 15 Januari.

"Prestasi dan keputusan membantu meningkatkan keyakinan apabila anda melihat Callum Hudson-Odoi dan Anthony Elanga hari ini, mereka yakin dan mencipta banyak masalah untuk Wolves.

"Inilah yang kami mahu lihat daripada pemain kami, berasa baik di padang dan bekerja keras. Tetapi sebelum Liverpool kami perlu ke Luton Town untuk Piala FA," katanya.

Wolves akan berdepan Luton Town dalam Pusingan Ketiga Piala FA di Stadium City Ground pada Sabtu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!