Penggunaan BIM, langkah strategik
Implementasi teknologi Building Information Modeling (BIM) yang digunakan oleh Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) merupakan langkah strategik dalam mendigitalisasikan operasi khususnya bagi kerja-kerja pemulihan cerun di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri Selangor.
BIM merupakan teknologi moden dalam industri pembinaan yang digunakan dengan keupayaan menghasilkan impak positif dalam aspek pemulihan cerun.
BIM berupaya menghasilkan model 3D bagi memudahkan pemahaman visual, mempercepatkan koordinasi kerja dan mengoptimumkan reka bentuk yang lebih tepat.
Infrasel berkata, bagi mengoptimumkan penggunaan teknologi moden ini, Infrasel turut mengaplikasikan BIM dalam kerja-kerja pemulihan cerun di tapak operasi.
“Penggunaan BIM dalam kerja-kerja pemulihan cerun ini membantu Infrasel membuat pemantauan yang lebih terperinci di samping membantu pasukan teknikal mengesan sebarang ketidakselarasan pada peringkat perancangan,” jelas Infrasel menerusi satu kenyataan.
Selain itu, pendekatan soil nailing dan fl exible facing juga merupakan kaedah utama pemulihan yang digunakan oleh Infrasel bagi projek pemulihan cerun di Jalan Genting Peras, Seksyen 32.460, Hulu Langat.
Projek yang bermula pada 22 Julai 2024 itu dijadualkan siap pada penghujung Disember 2024.
Namun, kecekapan Infrasel dalam mengendalikan projek ini dilihat sebagai satu hasil yang memberangsangkan apabila peratusan kemajuan projek menunjukkan peningkatan berbanding dengan tempoh yang telah dijadualkan.
Ketua Penyelaras Unit Cerun Infrasel, Ir Zainuddin Hussain berkata, projek pemulihan cerun di Jalan Genting Peras ini menelan biaya lebih daripada RM8.5 juta dan berjaya disiapkan dua minggu lebih awal daripada jangkaan tarikh yang telah ditetapkan.
“Dua tapak operasi di Jalan Genting Peras yang diselenggara Infrasel ialah tapak 35.490 berjaya disiapkan pada 6 Disember lepas iaitu dua minggu awal daripada tarikh dijadualkan. Kerja-kerja di tapak 32.460 pula berjaya dilaksanakan mengikut garis masa ditetapkan," ujar Zainuddin.
Beliau berkata, projek pemulihan cerun yang diselenggara oleh Infrasel dilaksanakan bagi meningkatkan tahap keselamatan dan mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya.
“Ia juga merupakan manifestasi komitmen terhadap Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 (RSN) dalam merealisasikan pembangunan Selangor sebagai wilayah bandar yang maju, lestari dan makmur,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!