BN usah terpedaya dengan sentimen politik PN - AMK

Nabil Halimi
Nabil Halimi
A
A
A

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) digesa tidak terpedaya dengan permainan sentimen politik yang cuba dimainkan oleh Perikatan Nasional (PN) untuk memecahbelahkan Kerajaan Perpaduan.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nabil Halimi berkata, ini kerana kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan BN telah menyumbang peningkatan pelaburan, inflasi terkawal dan pengiktirafan positif terhadap Malaysia di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, usaha bersama ini perlu diteruskan tanpa digugat oleh permainan sentimen atau taktik politik yang bertujuan menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan.

“Keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Datuk Seri Najib Tun Razak mencabar Titah Adendum bagi membolehkan beliau menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dalam tahanan rumah membuktikan bahawa kerajaan sentiasa telus dalam urusan undang-undang.

“Kerajaan Madani menghormati keputusan mahkamah yang dibuat berdasarkan fakta, bukti serta memastikan proses perundangan dijalankan dengan adil dan berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan pada Isnin memberi kebenaran kepada Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab serta mengesahkan kewujudan Titah Adendum Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firus Jaffril dengan majoriti 2-1 membenarkan rayuan bekas Perdana Menteri itu untuk mendapatkan kebenaran berkenaan.

Tambah Nabil, sebelum ini terdapat beberapa pemimpin PN yang lantang menyuarakan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti Saifuddin Abdullah dan Wan Ahmad Faysal namun kini mengambil pendekatan bertentangan.

Artikel Berkaitan:

“Perubahan pendirian ini menimbulkan persoalan mengenai keikhlasan mereka dan motif di sebalinya.

“Jangan biarkan permainan sentimen seumpama ini memecahbelahkan perpaduan yang telah kita bina demi kesejahteraan negara,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!