Hakim tegur lelaki Israel kes senjata api mohon penterjemah saat akhir
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Isu bahasa menjadi perdebatan di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, apabila seorang lelaki warga Israel, Avitan Shalom yang didakwa atas dua kes memiliki dan memperdagangkan senjata api hanya memohon untuk menggunakan khidmat jurubahasa Hebrew, sembilan bulan selepas didakwa.
Semasa prosiding yang dibuat dalam bahasa Inggeris, Hakim, Norina Zainol Abidin berkata, Avitan, 39, didakwa pada 12 April 2024 namun permintaan khidmat penterjemah dimaklumkan pada hari pertama perbicaraan dijalankan.
Menurutnya, tertuduh juga telah diwakili oleh peguam dalam setiap sebutan dan pengurusan kes terbabit.
Sepanjang prosiding berkenaan juga, beliau berkata, peguam tertuduh tidak pernah menyatakan hasrat untuk mendapatkan jurukhidmat bahasa lain.
Beliau berkata, sehinggalah pada perbicaraan hari pertama, selepas pertuduhan dibacakan semula dalam bahasa Inggeris yang mudah difahami, secara jelas dan kuat, tertuduh yang berasal daripada Bnei Brak, Israel ini menjawab bahawa dia memahami serta bersedia untuk dibicarakan.
“Kes ini sepatutnya bermula semalam, ia ditetapkan berlangsung selama tiga minggu, tetapi semalam juga, barulah peguam cakap mahu menggunakan jurubahasa Hebrew, yang mana sebelum ini langsung tidak dimaklumkan.
“Kamu desak, harap, minta dan mohon untuk mendapatkan khidmat itu semalam, maksudnya ia sudah di saat-saat akhir,” katanya. yang diwakili peguam, Datuk Naran Singh.
Avitan kemudiannya menjawab, hasrat untuk mendapatkan penterjemah bahasa Hebrew telah dinyatakan kepada peguam sebelum ini.
“Ya, saya faham pertuduhan yang dibacakan semalam, tetapi tidak memahami sepenuhnya, sebab itu lah saya mahu penterjemah bahasa.
“Saya bukan minta di saat-saat akhir kerana saya telah beritahu peguam saya beberapa kali setiap kali berjumpa mereka,” katanya yang diwakili peguam, Datuk Naran Singh.
Hakim itu membalas, mahkamah telah berusaha untuk mendapatkan penterjemah bahasa berkenaan, namun mereka memerlukan masa kerana agak sukar untuk mencari penterjemah bahasa Hebrew di Malaysia.
Hakim: Selain bahasa Hebrew, bahasa apa yang awak faham?
Avitan: Hanya bahasa Hebrew.
Hakim: Bagaimana dengan bahasa Arab, Perancis atau Inggeris?
Avitan: Saya tidak boleh berbahasa Arab, tapi saya faham bahasa Inggeris yang mudah.
Hakim: Awak sedarkah, sekarang awak menggunakan bahasa Inggeris?
Naran: Yang arif, Seksyen 270 Kanun Tatacara Jenayah (CPC) menyatakan, sekiranya keterangan di mahkamah dibuat dalam dalam bahasa yang tidak difahami oleh tertuduh, maka menjadi tugas mahkamah untuk memastikan, ia ditafsirkan dalam bahasa yang dia fahami.
Peguam ini berkata, kelalaian dan kecuaian peguam terdahulu, tidak boleh diletakkan kepada tertuduh semata-mata.
Bagaimanapun, beliau berkata, pembelaan akan membantu untuk mendapatkan khidmat jurubahasa, jika diizinkan oleh mahkamah.
“Susulan itu, pihak kami mohon prosiding yang ditetapkan sepanjang minggu ini, ditangguhkan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam tidak membantah permohonan tersebut.
Hakim kemudiannya membenarkan penangguhan prosiding dan menetapkan 13 Januari ini untuk sambung bicara.
Ketika prosiding pada Isnin, tahap keselamatan di mahkamah ini diperketatkan di pintu masuk dan perkarangan utama kompleks Kerajaan tersebut.
Lebih 200 anggota polis Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) mengawal keadaan.
Orang awam dan peguam yang telah mendaftar sahaja dibenarkan masuk ke mahkamah.
Untuk keselamatan, petugas media juga tidak dibenarkan mengambil gambar tertuduh, di sepanjang prosiding dijalankan.
Sebelum ini mahkamah menetapkan perbicaraan kes itu berlangsung selama 12 hari bermula 6 hingga 9, 13 hingga 16 serta 20 hingga 23 Januari.
Seramai 30 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan dalam kes itu.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Avitan didakwa memiliki 42 peluru di dalam tiga senjata berlainan, sekotak Shell Shock NAS3 9mm (lapan peluru) dan tiga kotak Bullet Master Co Ltd (150 peluru) tanpa lesen atau permit senjata.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Avitan didakwa berdagang enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9x19, Sig Sauer P3205P, Cougar 8000FT, Glock 17 Gen4 Austria 9x19, M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA dan Stoeger Cougar 8000F.
Dia didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, di sini antara jam 6.46 petang 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac 2024.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!