Ubah suai bot nelayan jadi kargo seludup rokok RM13.8 juta

Erwan Shah (kiri) menunjukkan rokok-rokok dipercayai untuk pasaran di utara tanah air. Foto SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID.
Erwan Shah (kiri) menunjukkan rokok-rokok dipercayai untuk pasaran di utara tanah air. Foto SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID.
A
A
A

PASIR PUTEH - Taktik licik sekumpulan penyeludup warga Thailand mengubah suai kapal nelayan menjadi kargo yang digunakan untuk menyeludup rokok bernilai RM13.8 juta digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri Kelantan pada Sabtu lalu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, penahanan dilakukan di perairan sempadan Malaysia-Thailand kira-kira 17 batu nautika dari Pengkalan Kubor, Tumpat pada jam 1.45 tengah hari.

Menurutnya, turut ditahan tujuh lelaki warganegara Thailand yang berusia antara 21 hingga 47 tahun melalui rondaan Op Naga Barat, Op Damai dan Op Tiris.

“Kapal terbabit cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran bot pihak berkuasa namun tindakan pantas anggota kami berjaya mengejar dan melakukan pendaratan paksa.

“Kami berjaya menahan kapal tersebut selepas dikejar selama 15 minit atau sejauh lima batu nautika,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Malaysia negeri Kelantan di sini pada Selasa.

Beliau memberitahu, pemeriksaan di tempat bahagian penyimpanan ikan dalam kapal terbabit menemukan 21 juta batang atau 105,250 karton rokok seludup bernilai RM1.7 juta dengan anggaran cukai bernilai RM13.8 juta.

Erwan Shah menunjukkan kapal nelayan yang membawa rokok seludup. Foto SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID.
Erwan Shah menunjukkan kapal nelayan yang membawa rokok seludup. Foto SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID.

Katanya, rokok-rokok terbabit dipercayai dibawa menggunakan jalan air melalui Kelantan untuk pasaran di negeri di utara.

Artikel Berkaitan:

"Jika dilihat dari luaran, kapal ini akan kelihatan seperti kapal nelayan asing, namun apabila diperiksa ruangan meletakkan tong-tong ikan sudah dikosongkan dan ditempatkan rokok-rokok seludup terbabit.

“Berdasarkan tiga bulan risikan dilakukan, kami percaya mereka melakukan transaksi perniagaan di tengah-tengah laut dengan rokok-rokok ini akan dipunggah ke bot-bot pancung untuk dibawa ke kawasan tertentu,” katanya.

Tambah beliau, pemerhatian pihaknya sebelum itu mendapati kapal terbabit bergerak dalam keadaan yang mencurigakan selain tidak mempunyai sebarang nombor pendaftaran pada badan kapal.

“Pemeriksaan terhadap lima suspek ditahan didapati memiliki dokumen pengenalan diri meragukan manakala dua lagi tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Saringan awal air kencing juga mendapati empat daripada mereka positif dadah jenis metaphetamine,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!