Ribut musim sejuk landa AS, lebih 1,900 penerbangan dibatalkan
NEW YORK - Sebahagian besar kawasan di Amerika Syarikat (AS) dilanda cuaca musim sejuk melampau pada Isnin termasuk salji lebat, ribut ais dan ribut salji, lapor Xinhua.
Cuaca buruk itu menyebabkan gangguan terhadap pengangkutan dan infrastruktur dengan hampir 70 juta orang berada di bawah amaran cuaca musim sejuk.
"Bagi sesetengah kawasan, ini mungkin salji paling lebat dalam tempoh lebih sedekad," menurut Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) dalam satu kenyataan.
Sehingga pagi Isnin, salji setebal 45 sentimeter (cm) dilaporkan di Chapman dan St. George, Kansas manakala lebih 25 cm salji direkodkan di Cameron, Missouri dan Mason, West Virginia.
Menurut platform penjejak penerbangan, FlightAware, lebih 1,900 penerbangan dalam AS termasuk penerbangan masuk dan keluar, dibatalkan pada Isnin.
Beberapa lapangan terbang utama negara itu termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy (JFK) di New York mencatatkan purata kelewatan selama 46 minit dengan lebih 104 penerbangan dibatalkan. Lapangan Terbang Antarabangsa Chicago O'Hare (ORD) pula mencatatkan purata kelewatan selama 50 minit dengan lebih 140 penerbangan dibatalkan.
Perjalanan kereta api turut terjejas teruk. National Railroad Passenger Corporation (Amtrak) membatalkan perjalanan lebih 50 kereta api termasuk laluan utama di sepanjang Pantai Timur dan negeri tengah Atlantik.
Amtrak menjelaskan langkah itu diambil "demi keselamatan pelanggan dan kakitangan Amtrak" serta mengesahkan "tiada pengangkutan alternatif" disediakan.
Lebih 250,000 pelanggan mengalami gangguan bekalan elektrik setakat 4.20 petang Waktu Timur, menurut penjejak gangguan PowerOutage.us.
Dilaporkan sekurang-kurangnya empat orang maut dan puluhan lagi cedera dalam nahas jalan raya akibat ribut musim sejuk itu.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan memberi amaran cuaca ekstrem itu boleh berterusan sehingga Selasa dan Amtrak telah mula membatalkan beberapa perjalanan kereta api pada hari berkenaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!