Perjuangan KDA FC masih perlu diteruskan

Gordic (dua dari kiri) percaya KDA FC mempunyai ramai pemain muda berbakat dan akan terus berjuang untuk kelab. Foto KDA FC
Gordic (dua dari kiri) percaya KDA FC mempunyai ramai pemain muda berbakat dan akan terus berjuang untuk kelab. Foto KDA FC
A
A
A

PENYERANG import Kedah Darul Aman (KDA) FC, Milos Gordic mahu semua penyokong setia Sang Kenari untuk terus menyokong perjuangan pasukan tersebut dalam saingan Liga Super musim ini.

Menurutnya, kehilangan tiga lagi pemain iaitu Sukhrob Nurulloev, Cleylton Santos dan Faiz Nasir meninggalkan kelab tersebut pada Januari menjadi satu tamparan buat mereka namun perjuangan pasukan masih perlu diteruskan.

“Saya kecewa dengan pemergian mereka kerana mereka sangat bermakna kepada kami dalam pasukan.

“Nurulloev dan Cleylton adalah pemain yang cemerlang dan individu yang hebat. Ini adalah kerugian besar bagi kami terutamanya dalam keadaan kewangan kelab yang sukar sekarang. Pemergian mereka menambah beban yang sudah kami hadapi,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan Sang Kenari dalam satu kenyataan berkata, Sukhrob dari Uzbekistan dan Cleylton dari Brazil telah mencapai persetujuan bersama bagi penamatan kontrak untuk mengembangkan karier di liga luar Malaysia.

Faiz pula telah tamat tempoh sebagai pemain pinjaman dari Terengganu FC.

Tiga pemain tersebut adalah pemain baharu meninggalkan Sang Kenari selepas empat lagi iaitu Habib Haroon, Fikri Che Soh, Kalamullah Al-Hafiz dan Sony Norde mengucapkan selamat tinggal kerana masalah kewangan yang dihadapi oleh pasukan tersebut.

Mengulas lanjut, Gordic yang berasal dari Serbia berkata, pemain-pemain yang masih ada akan terus berjuang untuk kelab.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi kami memerlukan semua rakyat Kedah untuk turut serta dalam perjuangan ini dan menyokong kami.

“Kelab ini mesti terus hidup, dan kami memerlukan sokongan anda. Kami mempunyai pemain muda yang berbakat, dan kami akan terus berjuang,” tegasnya.

Pada Sabtu, KDA FC dalam satu kenyataan berkata, kelab itu tetap akan meneruskan perjuangannya dalam Liga Malaysia meskipun terpaksa melalui badai dan cabaran penuh berliku berdepan masalah kewangan melibatkan isu gaji yang ditanggung sejak awal tahun lalu.

Pemilik majoritinya, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, walaupun pelbagai desakan diterimannya agar KDA FC menutup buku sejak awal musim ini sebagai langkah menyelamatkan pasukan dari terus menanggung bebanan hutang lebih besar, namun usaha menyelamatkan pasukan dengan maruah negeri Kedah menjadi pegangan yang kukuh dalam dirinya.

Sang Kenari kini dalam persiapan untuk menghadapi saingan Liga Super seterusnya pada 10 Januari ini berdepan Kelantan Darul Naim (KDN) FC di Stadium Darul Aman.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!