Keputusan representasi gadis tekap sudu panas pada kanak-kanak tangguh lagi
SEREMBAN - Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa menetapkan 18 Februari depan sebagai tarikh baharu keputusan representasi seorang gadis berkaitan pertuduhan melakukan penderaan fizikal dan pengabaian terhadap empat kanak-kanak di sebuah pusat jagaan yang mempunyai kaitan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) pada Ogos tahun lalu.
Prosiding sebutan semula kes tersebut didengar di dua kamar mahkamah berasingan di hadapan Hakim, Datin Surita Budin dan Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Terdahulu pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Intan Noorashikin Nasarudin dan Norazihah Asmuni memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka telah menerima surat representasi kes pada 26 dan 27 Disember lalu.
Pihak pendakwaan memaklumkan bahawa surat representasi tersebut sedang diteliti oleh Pejabat Pendakwaan Negeri sebelum dirujuk kepada pihak Pejabat Peguam Negara (AGC).
Pada prosiding hari ini, peguam Mohd Hanif Hassan menyebut bagi pihak peguam, Doreena Abdullah yang mewakili tertuduh Puteri Nurin Amalina Ahmad Daud, 20.
Puteri Nurin Amalin kini masih direman di Penjara Sungai Udang, Melaka selepas gagal membayar jaminan keseluruhan sebanyak RM80,000.
Pada 12 September lalu, media melaporkan Puteri Nurin Amalin yang merupakan pembantu penjaga kanak-kanak didakwa atas empat pertuduhan iaitu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap empat kanak-kanak perempuan berusia lima dan enam tahun telah menganiayai mereka dengan cara menekap sudu besi panas di lengan mereka sehingga menyebabkan kecederaan fizikal seperti melecur.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah pusat jagaan di Taman Merbok Ria di Rasah sini sekitar bulan Ogos lalu.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!