JS-SEZ inisiatif unik promosi Malaysia, Singapura - PM
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) merupakan inisiatif unik apabila dua negara bekerjasama sebagai satu pasukan untuk membantu mempromosikan kedua-dua negara dan menarik pelaburan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia dan Singapura ditadbir oleh pentadbiran yang stabil dari segi politik dengan dasar ekonomi yang jelas bertujuan menarik pelaburan.
Beliau berkata, kedua-dua kerajaan memilih dengan teliti dalam memastikan pelaburan sejajar dengan permintaan dan keutamaan masa depan.
Anwar berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong sempena lawatan rasmi Wong selama dua hari ke Malaysia yang bermula semalam.
Sementara itu, Lawrence berkata, inisiatif itu memberikan mesej kepada pelabur untuk melihat kepada saling melengkapi antara Johor dan Singapura serta pelbagai kelebihan dalam seluruh ekosistem JS-SEZ.
Beliau berkata, terdapat banyak kekuatan yang boleh dimanfaatkan daripada kedua-dua pihak yang akan meningkatkan cadangan nilainya dan menjadikan JS-SEZ lebih kompetitif serta menarik perniagaan untuk beroperasi.
"Bagi pihak Singapura, kami telah mengadakan perbincangan dengan banyak perniagaan kami dan mereka amat berminat untuk meluaskan operasi ke Johor. Kami telah mempunyai insentif untuk perniagaan yang ingin mengembangkan operasi ke luar negara.
"Kami mempunyai insentif sedia ada untuk perniagaan dari Singapura yang ingin mengembangkan operasi ke luar negara. Perniagaan Singapura boleh memanfaatkan insentif tersebut, program kesediaan pasaran dan geran untuk mengembangkan dan beroperasi di Johor yang diselaraskan dengan operasi mereka di Singapura," katanya.
Lawrence berkata, potensi besar JS-SEZ ialah kedua-dua negara bekerjasama untuk menarik pelaburan baharu di peringkat global serta memasarkan dan mempromosikan zon ekonomi ini sebagai destinasi gabungan di Johor dan Singapura kepada pelabur.
"Diharapkan, ini akan membolehkan kami (Malaysia dan Singapura) menarik lebih banyak pelaburan global ke negara masing-masing - meningkatkan nilai, memperluas peluang dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan untuk rakyat kedua-dua negara," katanya.
Terdahulu, Anwar dan Lawrence menyaksikan pertukaran perjanjian bersama antara Malaysia dan Singapura mengenai JS-SEZ selain enam memorandum persefahaman (MOU) dan satu surat niat (LOI).
MoU itu melibatkan bidang pemerangkapan dan penyimpanan karbon; kerjasama dalam Pendekatan Koperasi di bawah Perkara 6 (Perenggan 2) Perjanjian Paris dan kerjasama dalam pembangunan bandar.
Ia juga termasuk MoU mengenai kerjasama dalam kebajikan sosial, wanita dan pemerkasaan orang kurang upaya, pembangunan keluarga, kanak-kanak dan komuniti; MoU mengenai mencegah dan memerangi jenayah rentas sempadan serta MoU mengenai kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi.
Sementara itu, LOI antara Yayasan Antarabangsa Singapura (SIF) dan Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO) adalah mengenai Program Sukarelawan Bahasa Inggeris Malaysia-Singapura (MSEVP). - Bernama
JS-SEZ tingkat ekonomi Johor, kukuh hubungan Malaysia- Singapura
JOHOR BAHRU- Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) merupakan langkah strategi kepada pembangunan negeri ini menerusi pembukaan lebih banyak perniagaan dan huhungan ekonomi antara Malaysia dan Singapura.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata disamping peningkatan pelaburan dan pengukuhan sektor-sektor utama di negeri ini, lebih peluang pekerjaan berpendapatan tinggi akan wujud.
"Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan menghadiri Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-11, yang berlangsung semalam hingga hari ini (Selasa) di ibu negara.
"Saya amat berbesar hati dapat menyaksikan pemeteraian perjanjian JS-SEZ, yang telah ditandatangani Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Singapura.
"Majlis berkenaan disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong," katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya pada Selasa.
Onn Hafiz memberitahu JS- SEZ merupakan perjanjian hasil daripada perbincangan yang mendalam dan persediaan yang teliti antara kerajaan kedua-dua negara.
JS-SEZ kini merangkumi kawasan pembangunan Iskandar, Forest City, Pengerang Integrated Petroleum Complex, dan Desaru, dengan keluasan tanah 357,128 hektar.
Wilayah pembangunan Iskandar turut meliputi Pusat Bandaraya Johor Bahru, Iskandar Puteri, Tanjung Pelepas-Tanjung Bin, Pasir Gudang, Senai-Skudai, dan Sedenak.
Ia juga memberi tumpuan kepada sektor keutamaan baharu seperti aeroangkasa, elektrikal dan elektronik, kimia, peranti perubatan, dan farmaseutikal.
Selain itu, sektor lain seperti perkhidmatan perniagaan, ekonomi digital, penjagaan kesihatan, pembuatan, pelancongan, pendidikan, logistik, tenaga, dan keselamatan makanan turut diberi perhatian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!