Tanah tapak stesen LRT bukan untuk bina rumah - Kon Yeow

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan negeri menafikan dakwaan kawasan tanah di Sungai Pinang, di sini yang dijadikan lokasi pembinaan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang adalah tapak yang sebelum ini dirancang untuk pembinaan rumah kos rendah dan sederhana rendah.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kawasan tanah terbabit adalah tapak untuk pembinaan sebuah sekolah, namun pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

"Sebenarnya kawasan itu untuk tanah sekolah bukan seperti dakwaan untuk tapak perumahan (pembinaan rumah kos rendah dan sederhana rendah).

"Memandangkan ia telah dikenal pasti sebagai stesen LRT di situ dan sekiranya LRT dibina, maka baki tanah itu tak mencukupi untuk sebuah sekolah dan itu pun sudah dibincangkan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian mengulas Gerakan Pulau Pinang yang meminta kerajaan negeri menjelaskan sama ada tanah di Sungai Pinang yang akan digunakan bagi pembinaan stesen LRT Laluan Mutiara adalah tapak yang sebelum ini dirancang untuk pembinaan rumah kos rendah dan sederhana rendah atau sebaliknya.

Kon Yeow berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menghadiri Majlis Peluncuran Projek LRT Mutiara Pulau Pinang di Sungai Pinang pada 11 Januari ini dan kawasan itu dipilih kerana lokasinya bersesuaian untuk menjalankan majlis berkenaan.

"Majlis ini lebih kepada simbolik sahaja dan boleh diadakan di mana-mana, tetapi kita memilih lokasi yang selesa dan kawasan yang luas untuk semua pihak yang terlibat,” katanya.

Mengulas mengenai mesyuarat dihadiri beliau yang dipengerusikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Putrajaya semalam, Kon Yeow berkata, mesyuarat itu menerima pembentangan mengenai rundingan kontrak daripada MRT Corp dan perkembangan terkini projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang.

"Ia projek Kerajaan Persekutuan, maka mesyuarat berkenaan telah menerima pembentangan daripada MRT Corp tentang rundingan kontrak dan itulah inti pati mesyuarat berkenaan. Pengumuman mengenai kontrak yang diterima itu saya serahkan kepada Menteri (Kewangan II) untuk diumumkan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!