Pemilik kedai guna mesin cetak tanpa lesen sah KDN didenda RM2,500
KEMAMAN - Seorang lelaki didenda RM2,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas dakwaan menggunakan mesin cetak tanpa lesen sah daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Tertuduh, Azam Hashim, 37, yang merupakan pemilik premis percetakan di daerah ini membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki tersebut didapati menggunakan mesin cetak tanpa lesen sah daripada KDN di premis perniagaannya di Jalan Sulaimani, Chukai, di sini.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 10.45 pagi pada 22 Oktober lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3(4) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pada prosiding kes itu, pihak pendakwaan memohon supaya hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, lelaki berkenaan merayu agar dikenakan denda minimum kerana menanggung lima anak yang masih bersekolah dan pendapatannya kurang daripada RM2,000 sebulan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama empat bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Pendakwaan kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Bahagian Penguatkuasa dan Kawalan KDN, Hardigor Hodin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!